Konvensyen Kerajaan Perpaduan tingkat keserasian parti

Ahmad Zahid diiringi Kon Yeow hadir pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Al-Islah hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid diiringi Kon Yeow hadir pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Al-Islah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TASEK GELUGOR - Penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, boleh meningkatkan keserasian kepimpinan parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, konvensyen yang kali pertama diadakan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan itu, akan memberi peluang kepada kepimpinan parti gabungan dari pelbagai peringkat untuk bersama.

"Walaupun Sekretariat Kerajaan Perpaduan telah mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali, tetapi konvensyen ini akan melibatkan kepimpinan pelbagai parti dari peringkat cawangan, Dewan Undangan Negeri, bahagian, Negeri dan Nasional.

"Ini adalah bagi mewujudkan keserasian di semua peringkat. Kami perlu wujudkan persefahaman baik antara pemimpin dan ia akan diikuti ke peringkat akar umbi,” katanya kepada media di Majlis Sentuhan Ramadan di Masjid Jamek Al-Islah Pokok Tampang di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.

Apabila ditanya jika pihaknya sudah mendapat bayangan parti mana yang akan bertanding di kerusi mana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau berkata, ia masih terlalu awal.

"Masih terlalu awal untuk kami memberikan bayangan. Yang penting ialah rundingan yang berasaskan kebolehmenangan. Bukan bertanding dengan berhasrat untuk mendapatkan jumlah tertentu, tapi yang penting adalah mendapatkan kemenangan,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkaa di peringkat Pulau Pinang, kepimpinan tertinggi akan menyerahkan kepada peringkat negeri iaitu Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang Chow Kon Yeow, dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir, untuk membincangkannya.

Ahmad Zahid yang juga presiden UMNO berkata Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional cuma akan menyentuh dari segi dasar sahaja. - Bernama