Gubal semula Akta Perikanan 1985

283585
283585
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Akta Perikanan 1985 perlu dipinda bagi menyelamatkan hasil laut daripada terus musnah akibat ‘kerakusan’ nelayan asing yang mengaut untung dengan menceroboh perairan negara.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, perkara itu perlu disegerakan memandangkan kadar hukuman yang dikenakan terlalu ringan dan tidak mendatangkan rasa gerun kepada mereka untuk terus mengulangi kesalahan itu.

“Perundangan yang mencakupi akta sedia ada berkenaan perikanan negara perlu dipinda bagi memperkenalkan undang-undang yang lebih berat kepada penceroboh yang melanggar undang-undang negara.

“Jika tidak diambil serius, hasil laut negara akan musnah tiada apa yang akan tinggal pada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu meneliti keupayaan agensi-agensi penguat kuasa negara yang menjalankan tugas dan peruntukan lebih perlu diberikan kepada agensi yang benar-benar memerlukan.

“Saya dapati, di Kuala Terengganu sebanyak 13 aset laut secara keseluruhan ditempatkan iaitu lima kapal dan lapan bot, tetapi yang boleh beroperasi hanya sebuah kapal dan dua buah bot kerana yang lain terlibat dalam proses baik pulih,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu pencerobohan nelayan asing, katanya, perkara itu hangat diperkatakan komuniti nelayan di pantai timur semenanjung negara terutama di Terengganu.

“Kerajaan tidak boleh menyalahkan komuniti nelayan dalam soal rungutan seperti yang dilakukan di Dataran Syahbandar pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka berhak bersuara dan tindakan mereka ini wajar diberikan perhatian yang serius. Kerajaan perlu bertindak. Jangan diam diri,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan nelayan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelemahan penguatkuasaan, namun, ia bukan hanya didorong oleh penguatkuasaan yang lemah kerana banyak lagi perkara yang perlu diperhalusi dan diambil tindakan.

“Bagi tempoh Januari hingga kini, di Terengganu sahaja, sebanyak dua kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berada di laut setiap hari iaitu sebuah kapal berpangkalan di Kuala Terengganu dan sebuah lagi berpangkalan di Kemaman.

“Kapal-kapal itu juga telah dibantu oleh aset dari negeri Pahang iaitu KM Pekan dan KM Langkawi yang kedua-duanya berupaya pergi lebih jauh hingga ke sempadan perairan negara dalam usaha menyekat pencerobohan bot nelayan Vietnam.

“Bagi keseluruhan perairan negeri-negeri pantai timur, dalam tempoh ini, APMM juga telah melakukan lebih 500 pemeriksaan. Lebih 30 bot nelayan Vietnam telah ditahan dan seramai lebih 300 nelayan asing Vietnam ditangkap,” katanya.