Pelantikan ramai panel pakar perkara biasa - Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah (berdiri, empat kiri), pada program SWM Kasih Back To School di Dewan Rumah Pangsa Larkin pada Ahad.
Akmal Nasrullah (berdiri, empat kiri), pada program SWM Kasih Back To School di Dewan Rumah Pangsa Larkin pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelantikan 28 Ahli Panel Pakar (POE) bagi membantu pelaksanaan tujuh dasar yang menjadi fokus Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilihat sebagai perkara biasa dan pernah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kesemua POE yang dilantik merupakan individu yang berpengalaman dan memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing.

Malah katanya, kesemua mereka juga tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak kerajaan.

“Bagi saya ini (lantikan) bukanlah perkara luar biasa sehingga menimbulkan isu besar kerana POE yang dilantik ini mencakupi keseluruhan portfolio KPKT itu sendiri. Kalau sebelum ini POE hanya tertumpu kepada masalah perumahan tetapi sekarang ia tertumpu kepada tujuh dasar kementerian.

“Ini kerana walaupun kita bercakap soal perumahan, sebenarnya ia ada kaitan dengan pengurusan sisa pepejal, jadi kementerian tidak boleh lagi 'work in silo', sebab itu mereka yang terlibat ini terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Daripada segi komitmen kerajaan, tiada bayaran kepada mereka ini, kita hanya mendengar pandangan dan juga pengalaman mereka kerana antara mereka ada ahli korporat, bekas pegawai kerajaan dan juga individu yang terlibat dengan pengurusan smart city," katanya.

Akmal Nasrullah berkata demikian pada program SWM Kasih Back To School di Dewan Rumah Pangsa Larkin di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Pengarah SWCorp Johor, Rafidah Mohamed dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd, Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan seramai 28 ahli POE dilantik terdiri daripada individu dalam pelbagai bidang seperti perumahan, kewangan, ekonomi, kebombaan dan pembinaan.

Antara individu terlibat ialah dari institusi seperti Khazanah Research Institute, House Buyers Association (HBA), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Bar Council, Persatuan Arkitek Malaysia, Bursa Malaysia Berhad, Association of Bank Malaysia, ahli akademik universiti dan lain-lain.

Sementara itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pelantikan POE adalah satu inisiatif strategik daripada pihak KPKT berhubung ilmu pengetahuan, pengalaman dan kepakaran daripada pelbagai pihak.

Jelasnya, ia diharap dapat membantu memberikan khidmat nasihat dan cadangan penambahbaikan dan penyelesaian terhadap masalah-masalah akan datang.

"Kaedah ini adalah lebih menyeluruh, kementerian tidak hanya melihat satu sudut kerana kita tahu untuk memastikan dasar dilaksanakan berjaya, kita perlu lihat secara holistik, dan ini ikhtiar dibuat KPKT.

“Kesemua input serta cadangan yang dikemukakan, diketengahkan dan diteliti oleh pihak kementerian sebelum dibawa ke pertimbangan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap isu berkaitan dapat diselesaikan secara strategik dan teratur," jelasnya.