Isu SJKT Sungai Bakap: KPM belum buat keputusan muktamad

Fadhlina (tengah) bergambar dengan sekolah yang menerima sumbangan Program Smart School yang dianjurkan Yayasan AEON dengan kerjasama Yayasan Didik Negara di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, di sini pada Ahad.
Fadhlina (tengah) bergambar dengan sekolah yang menerima sumbangan Program Smart School yang dianjurkan Yayasan AEON dengan kerjasama Yayasan Didik Negara di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, di sini pada Ahad.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung isu menghentikan kerja-kerja pembinaan bangunan baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Bakap berikutan masalah kekurangan dana.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara berkenaan masih dalam rundingan dengan pelbagai pihak selain perlu mengambil kira beberapa aspek penting sebelum keputusan akhir dibuat.

"Saya fikir dari hari ke hari perbincangan sentiasa dilakukan, minggu lepas saya dah jumpa dengan guru besar dan wakil sekolah untuk berbincang dan hari ini akan ada lagi perbincangan.

"Perbincangan masih diteruskan, tiada isu bahawa ada sebarang keputusan muktamad telah dibuat dan tiada lagi proses rundingan tetapi untuk pendidikan anak-anak ini (rundingan) kita sentiasa buka seluas-luasnya, jadi jangan risau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Smart School yang dianjurkan Yayasan AEON dengan kerjasama Yayaysan Didik Negara di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, di sini pada Ahad.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, antara aspek yang perlu diambil kira seperti kepentingan, perkembangan dan isu-isu berkait rapat dengan pendidikan di kawasan sekitar sekolah berkenaan.

Jelasnya, surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sebelum ini hanyalah satu pandangan dan proses biasa namun rundingan dan alternatif lain sedang diusahakan untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah terbabit.

Sebelum ini media melaporkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang untuk menghentikan pembinaan SJK(T) Sungai Bakap baharu.

Beliau berkata, projek itu tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja selepas mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

"Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan awal sebanyak RM3.5 juta dan memperuntukkan tanah 4 ekar pada 2015 untuk pembinaan bangunan baru sekolah ini.

"Sekiranya, Kerajaan Persekutuan tidak dapat membantu dalam memberi peruntukkan tambahan kepada pihak sekolah kerana kekurangan peruntukkan, mereka boleh menyerah tanggungjawab mengumpul dana awam kepada pihak sekolah sendiri," katanya sebelum ini.