Pastikan Harimau Malaya tidak bolos berdepan Hong Kong

Skuad negara menjalani latihan menjelang aksi berdepan Hong Kong, Selasa ini. - Foto Facebook FAM
Skuad negara menjalani latihan menjelang aksi berdepan Hong Kong, Selasa ini. - Foto Facebook FAM
A
A
A

[DIKEMASKINI] PENJAGA gol Harimau Malaya, Syihan Hazmi Mohamed mengingatkan rakan-rakan sepasukan agar kekal fokus dan memastikan pintu gol tidak dibolosi ketika berdepan Hong Kong bagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.

Menurut Syihan, perkara itu disuarakan kapten, Dion Cools sebelum ini yang mahukan clean sheet (tanpa bolos) pada dua aksi persahabatan Tier 1 kali ini.

Katanya, biarpun kelebihan dilihat berpihak kepada skuad negara yang beraksi di hadapan penyokong sendiri, namun pelawat juga sudah pasti melakukan persiapan sama dalam usaha mencatatkan kemenangan.

“Insya-ALLAH, kita akan fokus untuk game ni, tapi jangan terlalu yakin dan ambil mudah pasukan lawan.

“Kelebihan memang pada kita, tapi mereka (Hong Kong) juga pasti adakan persiapan dan sebab itu pemain perlu kekal fokus di sepanjang perlawanan,” katanya.

Syihan merupakan antara pemain yang beraksi cemerlang buat skuad negara ketika menewaskan Turkmenistan 1-0 di venue sama Khamis lalu.

Penjaga gol berusia 27 itu juga dilihat cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan daripada jentera serangan pelawat pada perlawanan berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Syihan berkata, kemenangan ke atas Turkmenistan merupakan hasil kerja keras daripada kesemua pemain yang diturunkan.

Syihan (kanan) mahu memastikan gawang skuad negara tidak dibolosi ketika berdepan Hong Kong, Selasa ini .- Foto Facebook FAM
Syihan (kanan) mahu memastikan gawang skuad negara tidak dibolosi ketika berdepan Hong Kong, Selasa ini .- Foto Facebook FAM

Justeru katanya, prestasi sedemikian perlu diteruskan ketika berdepan Hong Kong dalam usaha merakamkan kemenangan sekali lagi pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, kali ini.

“Kalau kita tengok, alhamdulilah. Semua pemain bagi 100 peratus pada perlawanan tersebut (berdepan Turkmenistan).

“Bagaimanapun, saya tak boleh berikan ulasan dari segi prestasi pemain kerana saya sendiri merupakan pemain.

“Yang boleh berikan penilaian adalah seperti coach (ketua jurulatih) dan juga orang (peminat) di luar,” katanya.