Khairuddin sahkan dilantik Penasihat Agama TPM

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas pemimpin Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengesahkan beliau dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pelantikan tersebut adalah secara pro bono berkuat kuasa 20 Mac lalu dan menganggap ia sebagai salah satu cara memberikan sumbangan kepada negara.

"Penjawatan adalah secara pro bono tanpa imbuhan kewangan sebagai satu sumbangan saya untuk negara menerusi Timbalan Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO ialah bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Beliau juga memiliki kelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2011.

Sebelum itu Mohd Khairuddin melanjutkan pengajian di Universiti Jordan dalam jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Arab seterusnya ke peringkat Sarjana dalam bidang sama di Universiti Aal al-Bayt, Mafraq, Jordan pada 2000.