Jualan Menu Rahmah makin rancak di Terengganu

Antara hidangan dengan tawaran harga Menu Rahmah yang dijual di sebuah premis di Terengganu. Gambar kecil: Shaharuddin
Antara hidangan dengan tawaran harga Menu Rahmah yang dijual di sebuah premis di Terengganu. Gambar kecil: Shaharuddin
A
A
A

MARANG - Tiada peniaga yang menghentikan jualan Menu Rahmah di Terengganu bahkan konsep yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu dilihat kian mendapat sambutan dalam kalangan peniaga di negeri itu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Shaharuddin Mohd Kia berkata, sehingga kini sebanyak 99 premis telah menawarkan Menu Rahmah di seluruh Terengganu sehingga 23 Mac lalu.

"Setakat ini tiada lagi (peniaga yang hentikan jualan Menu Rahmah) kerana jualan menu ini merupakan pilihan kepada peniaga-peniaga dan mereka menjalankan jualan secara sukarela. Tiada paksaan.

"Kebanyakan yang menjual Menu Rahmah faham mengenai isu kenaikan harga barang yang dialami pembeli dan pelanggan dan mereka ini mahu turut serta membantu meringankan bebanan pelanggan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Rahmah Binjai Rendah, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, katanya, KPDN terus komited bagi memastikan seluruh rakyat dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu masa kini.

Jelasnya, dalam masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

"Kita berharap usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan.

"KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya industri restoran dan makanan supaya dapat bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini bagi meringankan kos sara hidup rakyat," ujar beliau.

Menurut Shaharuddin, inisiatif Payung Rahmah merupakan manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik terlibat.

Katanya, antara program yang telah dilaksanakan di bawah inisiatif Payung Rahmah adalah seperti Menu Rahmah, Jualan Rahmah dan Bakul Rahmah.

"Pihak pemain industri atau orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengeni Inisiatif Payung Rahmah boleh menghubungi Seksyen Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri, KPDN Terengganu di talian 09-620 4700," katanya.