Tindakan lebih tegas bendung penganjuran acara tidak bermoral

Laporan Sinar Harian pada Khamis..Gambar kiri: Mohd Jamaludin
Laporan Sinar Harian pada Khamis..Gambar kiri: Mohd Jamaludin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN) berharap kerajaan dapat mengenakan tindakan yang lebih tegas terhadap penganjur sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan keresahan kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, tindakan preventif juga perlu dilakukan supaya ia boleh dijadikan tauladan kepada pihak lain yang cuba menimbulkan provokasi seumpama itu.

"Melihat kepada promosi persembahan 'Thai Hot Guy', ia adalah usaha provokasi mempromosi budaya LGBTIQ (golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks dan pelik) yang ditolak oleh rakyat Malaysia, mempunyai pegangan agama yang tinggi.

"Pihak berkuasa tempatan dan perlesenan perlu lebih proaktif dan peka terhadap pengajuran seumpama ini. Jangan tunggu bertindak selepas isu menjadi kontroversi seperti acara ini," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini media melaporkan, sebuah akaun Facebook dengan nama KL NOW memuat naik hantaran mengenai program Thai Hot Guy yang difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki macho di sebuah bar di Kuala Lumpur pada 30 Mac ini.

Setelah mendapat pelbagai kritikan dan kecaman, penganjuran program berkenaan dibatalkan atas arahan pihak berkuasa.

Dalam pada itu Mohd Jamaludin berkata, undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 sudah memadai namun memerlukan penguatkuasaan yang cekap.

"Enakmen (perundangan) sedia sedia ada sudah mencukupi untuk menghalang kerja-kerja tidak bermoral ini berlaku namun perlu lebih tegas (kerana) penganjur tahu program seumpama ini yang dipromosi secara terbuka akan mengundang kontroversi, malah kencaman orang ramai.

"Pengajur bersifat degil, tidak menghormati undang-undang dan norma masyarakat Malaysia demi kepentingan mereka sendiri," katanya.

Halang aktiviti hiburan melampau

Sementara itu, r​​​ata-rata orang ramai menggesa supaya kerajaan tidak membenarkan sebarang bentuk penganjuran aktiviti hiburan melampau seperti acara Thai Hot Guy yang mencetuskan kemarahan banyak pihak baru-baru ini.

Pekerja swasta, Nik Norshafika Nik Ismail, 29 berkata, aktiviti sedemikian bukan sahaja bertentangan dengan kedudukan Malaysia yang mempunyai majoriti rakyat beragama Islam, malah dibimbangi berlakunya masalah sosial lebih parah.

Malah katanya, sekiranya aktiviti seumpama itu dibenarkan ia bukan hanya menjejaskan nama baik negara malah boleh mencetuskan risiko kepada penularan penyakit berbahaya seperti HIV.

"Malaysia sekarang semakin bebas dan berleluasa dengan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Jadi, kita sebagai negara Islam sendiri sepatutnya menjaga dan lebih cakna dengan isu ini.

"Pihak sepatutnya perlu mengambil serius terutama kerajaan wajar melakukan tindakan dan jangan biar perkara sebegini wujud dalam negara kita," katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Pegawai Eksekutif Jalen Sdn Bhd, Mohammad Naqqiuddin Nawawi, 32 pula, isu tersebut boleh ditangani sekiranya semua pihak khususnya kerajaan, penguat kuasa undang-undang termasuk rakyat peka dan sensitif terhadap sebarang provokasi yang menyentuh sensitiviti agama.

Tambahnya, sejak kebelakangan ini, banyak isu berkaitan penganjuran program LGBT yang dilihat tidak mempedulikan sensitiviti rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

"Mereka dilihat semakin berani dan hilang hormat," ujarnya.

Sementara itu, pekerja swasta, Durra Ahya, 36, meluahkan kebimbangan bahawa penganjuran program berkenaan boleh merosakkan akhlak kerana mendorong kepada aktiviti pelacuran, maksiat dan menggalakkan perhubungan songsang.

Katanya lagi, ia tidak boleh berulang kerana sudah jelas Perlembagaan Persekutuan negara telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan.

"Program seperti ini tidak sepatutnya dipertimbangkan kerana berpandukan perlembagaan ia juga melanggar undang-undang," ujarnya.

Dalam pada itu, pelajar, Seow Han Lin, 24 juga berharap kerajaan dapat menjadi lebih proaktif dalam menangani isu sedemikian.

Jelasnya, selain kerajaan, Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memainkan peranan.

"Pihak berkuasa itu harus bekerjasama dengan melaksanakan pengesanan, menapis dan segera bertindak supaya ia tidak berulang lagi," katanya.

Seorang lagi pelajar, Aina Ismail, 26 pula mencadangkan penguatkuasaan undang-undang atau akta perkauman perlu diperketatkan agar dapat menjamin keharmonian dan kesejahteraan negara daripada pemikiran songsang dari negara luar.

Tambahnya, meskipun isu sensitiviti keagamaan mendapat perhatian pelbagai pihak, namun peranan pihak berkuasa dilihat penting bagi membanteras perkara tersebut agar tidak berleluasa di kemudian hari.

"Ia tidak boleh dibiarkan kerana akan memberi kesan negatif terhadap perkauman seperti perpecahan," tegasnya.