200 bungkus air jagung habis dalam satu jam

Zulfami dan Suraya menyediakan air jagung Klebang percuma kepada pengunjung Bazar Ramadan Taman Mahsuri, Jitra, sepanjang Ramadan.
Zulfami dan Suraya menyediakan air jagung Klebang percuma kepada pengunjung Bazar Ramadan Taman Mahsuri, Jitra, sepanjang Ramadan.
A
A
A

KUBANG PASU - Program pemberian air jagung Klebang secara percuma di Bazar Ramadan Taman Mahsuri pada bulan Ramadan kali ini diteruskan buat tahun ketiga.

Zulfahmi Shariff, 36, berkata, program terbabit diteruskan selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada penyumbang yang membuat infak air jagung berkenaan.

Katanya, air jagung terbabit merupakan hasil infak hampir 50 individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat untuk bersedekah di bulan Ramadan ini.

"Saya dan isteri (Suraya Ayob, 41), hanya bertindak sebagai orang tengah untuk melunaskan niat dan amanah para penyumbang," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Menurutnya, setiap hari kira-kira 200 bungkus air akan diedarkan kepada pengunjung bazar terbabit.

"200 bungkus itu bersamaan lima balang yang mana mewakili lima orang penyumbang setiap hari," katanya yang mula beroperasi sekitar jam 3.45 petang sehingga 28 Ramadan nanti.

Zulfahmi berkata, program infak berkenaan mendapat sambutan ramai sehinggakan air habis diedarkan dalam masa satu jam sahaja.

"Alhamdulillah, yang mana pernah rasa kesedapan air jagung ini memang ternanti-nanti bulan Ramadan sebab kami hanya mengagihkannya pada bulan puasa.

Orang ramai mula berkunjung ke gerai mereka seawal jam 4 petang.
Orang ramai mula berkunjung ke gerai mereka seawal jam 4 petang.



"Untuk tahun ini, kami hadkan air jagung ini kepada dua bungkus untuk setiap pengunjung supaya lebih ramai berpeluang mendapat manfaat daripada program infak ini," katanya.

Ujar bapa kepada dua cahaya mata ini, pengunjung yang mendapatkan air jagung berkenaan juga layak menyertai pertandingan di TikTok yang menawarkan duit raya sebagai hadiah.

"Pertandingan ini berlangsung sehingga 26 Ramadan sahaja dan pemenangnya akan diumumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Firdaus Sakri, 40 berkata, program infak terbabit dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan di bulan Ramadan.

"Ini tahun kedua saya datang ambil air jagung ini, terima kasih kepada semua penyumbang semoga program bermanfaat ini akan diteruskan lagi setiap kali Ramadan," katanya.