Sengaja tangguh dakwa Trump?

Pada akhir minggu lalu, Trump mendakwa dirinya akan diberkas pada Selasa. - Foto Agensi
Pada akhir minggu lalu, Trump mendakwa dirinya akan diberkas pada Selasa. - Foto Agensi
A
A
A

JURI besar New York dilaporkan tidak bersidang pada Rabu, sekali gus menangguhkan keputusan sama ada mahu mendakwa bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung bayaran yang dibuat kepada bintang porno di bawah kes yang kembali menggemparkan negara itu.

Panel itu yang bersidang secara rahsia biasanya mengadakan pertemuan pada Isnin, Rabu dan Khamis.

Tetapi, sesi pada Rabu dibatalkan pada saat akhir tanpa memberikan butiran lanjut.

Sumber rapat kepada juri berkenaan memaklumkan panel tersebut mungkin tidak akan mengadakan pertemuan pada minggu ini.

"Keputusan paling awal yang boleh dibuat mereka mungkin pada Isnin ini," ujarnya.

Difahamkan, jika panel tersebut mengundi sebulat suara untuk mendakwa Trump, anggota Parti Republikan berusia 76 tahun itu akan menjadi bekas Presiden AS pertama berdepan tuduhan kes jenayah.

Tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dijangka memberi impak kepada kempen Pilihan Raya Presiden AS 2024 selepas Trump telah menyatakan hasrat untuk bertanding semula.

Pada Januari lalu, Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg telah menubuhkan juri besar selepas beliau melancarkan siasatan terhadap skandal melibatkan bayaran sebanyak AS$130,000 (RM574,015) kepada Stormy Daniels pada 2016 sebagai cubaan untuk menutup mulutnya.

Sejak awal minggu lalu, pihak berkuasa telah meningkatkan kawalan keselamatan di beberapa lokasi panas termasuk di luar Menara Trump selepas bilonair hartanah tersebut mendakwa beliau mungkin akan diberkas pada Selasa berhubung kes kontroversi itu.

Pasukan keselamatan mengambil langkah berjaga-jaga selepas Trump menggesa penyokongnya melancarkan protes jika beliau didakwa yang dikhuatiri akan mencetuskan semula rusuhan ganas seperti di Capitol pada 2021. - Agensi

Info:

>Trump sedang berdepan beberapa siasatan jenayah di peringkat negeri dan persekutuan. Antara kes yang mendapat perhatian umum ialah usahanya untuk membatalkan keputusan susulan kekalahannya di negeri Georgia pada 2020, pengendalian dokumen sulit secara salah dan penglibatannya dalam insiden pencerobohan Capitol pada 6 Januari 2021.