Pembantu tadbir dijel 13 bulan, denda RM68,500

Mohd Azlan (tengah) dihukum penjara 13 bulan dan denda RM68,500 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan memalsukan dokumen pembayaran wang khairat kematian berjumlah RM64,734, dua tahun lalu.
Mohd Azlan (tengah) dihukum penjara 13 bulan dan denda RM68,500 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan memalsukan dokumen pembayaran wang khairat kematian berjumlah RM64,734, dua tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pembantu tadbir dihukum penjara 13 bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan memalsukan dokumen pembayaran wang khairat kematian berjumlah RM64,734 dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mokhtar mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Mohd Azlan Jainal, 36, bermula pada Khamis.

Mahkamah juga memerintahkan bapa kepada empat anak itu membayar denda RM68,500 dan berdepan hukuman 29 bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Mohd Azlan mengaku bersalah atas 10 pertuduhan iaitu menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu 10 keping cek milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang berjumlah RM64,734 dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Bank Islam Malaysia Berhad Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, antara 26 Mac hingga 30 April 2021.

Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah meniru tandatangan pengurus dan penyelia Felda bagi kesemua 10 keping cek terbabit tanpa pengetahuan orang lain.

Semakan mendapati terdapat 10 transaksi kemasukan wang ke dalam akaun tertuduh.

Sebelum itu, Mohd Azlan dalam rayuan meminta mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan wang itu digunakan bagi memudahkan urusan pentadbiran pejabat Felda.

"Wang itu bukan digunakan untuk tujuan peribadi, tapi untuk tujuan kebajikan dan memudahkan urusan pentadbiran pejabat saya.

"Jika untuk peribadi saya pasti akan menbayar hutang-hutang saya, tapi sehingga kini saya masih membayar hutang tanpa menggunakan wang tersebut," katanya dalam prosiding itu.

Dia yang tidak diwakili peguambela memberitahu, wang tersebut digunakan untuk membeli peralatan seperti mesin kiraan wang, meja komputer, penyelenggaraan alat penghawa dingin, lampu dan sebagainya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi masej jelas ketegasan mahkamah terhadap kesalahan dilakukan.