Enam ditahan kes tuntutan palsu selenggara sekolah RM2.5 juta

Antara individu yang dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berkaitan kes tuntutan palsu.
Antara individu yang dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berkaitan kes tuntutan palsu.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu secara berasingan kerana disyaki mengemukakan tuntutan bayaran palsu bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan sekolah di Selangor.

Menurut sumber, kesemua lelaki berusia 40 hingga 57 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang hingga jam 12 tengah malam, ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.

"Seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga pemilik syarikat ditahan kerana dipercayai mengemukakan tuntutan bayaran palsu berjumlah lebih RM760,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah sekolah di Batu Arang pada 2020 sedangkan kerja tersebut tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, operasi kedua pula, suspek berusia 41 tahun yang juga seorang kontraktor ditahan kira-kira jam 9.30 malam kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu pada tahun sama berjumlah lebih RM860,000 sedangkan kerja tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

"Empat lagi suspek ditahan dalam operasi ketiga kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM870,000 membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan sebuah sekolah di Semenyih, Selangor pada 2020 sedangkan kerja tersebut juga tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Sumber berkata, seorang suspek berusia 57 tahun yang juga pemilik syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.

"Perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga Isnin dikeluarkan terhadap lima suspek tersebut oleh Majistret Nur Syuhada Abdullah di Mahkamah Majistret 3, Shah Alam selepas SPRM membuat permohonan tersebut," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.