RM1 hasil jualan tiket bantu konservasi Harimau Malaya

FAM dan KBS akan berganding bahu perangi kepupusan Harimau Malaya.
FAM dan KBS akan berganding bahu perangi kepupusan Harimau Malaya.
A
A
A

SEBANYAK RM 1 hasil daripada jualan setiap keping tiket membabitkan perlawanan pasukan bola sepak kebangsaan akan disumbangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha membantu konservasi Harimau Malaya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM, KBS akan berganding bahu dan pada masa sama menyokong usaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang menerajui usaha memerangi kepupusan haiwan tersebut.

"FAM optimis kolaborasi bersama KBS ini menjadi saksi kepada satu bukti konklusif di mana kedua-dua organisasi ini juga menitikberatkan hidupan liar khususnya Harimau Malaya yang merupakan haiwan ikonik Malaysia yang kini sedang berdepan isu kepupusan.

"Ini adalah satu misi yang izhar buat FAM dan KBS dalam pemuliharaan Harimau Malaya. Setiap kali kita keluar bermain dan menonton bola sepak, kita menyumbang kepada kehidupan setiap Harimau Malaya di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pasukan bola sepak kebangsaan juga telah diberi gelaran Harimau Malaya untuk menunjukkan ketangkasan, keberanian dan kehebatan pasukan negara.

Di Malaysia, populasi harimau liar telah menurun daripada lebih kurang 1,000 ekor pada tahun 1970 kepada kurang daripada 150 ekor kerana pelbagai ancaman seperti pemburuan haram.

Harimau ialah satu indikator yang penting bagi biodiversiti dan kemandirian spesies ini di hutan bagi kesejahteraan ekosistem yang menyokong kelangsungan hidup.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, anak muda yang minat kepada bola sepak juga perlu menunjukkan semangat yang sama dalam pemeliharaan Harimau Malaya.

"Harimau Malaya ialah lambang dan nama panggilan keramat buat pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia. Kita tidak mahu satu hari nanti harimau tinggal maskot atau slogan dan laungan sahaja tanpa adanya harimau liar di hutan kita.

"Jika spesies ini pupus, jiwa kelestarian negara ini juga akan pudar dan tidak akan ada makna jika pada masa itu pasukan kebangsaan kita masih bergelar Harimau Malaya," katanya.