Iklan bufet Ramadan kembali meriah

Ramadan kali ini semuanya kembali kepada keadaan normal kerana tempahan awal bufet berbuka puasa boleh dikatakan mendapat sambutan yang positif. - Gambar hiasan
Ramadan kali ini semuanya kembali kepada keadaan normal kerana tempahan awal bufet berbuka puasa boleh dikatakan mendapat sambutan yang positif. - Gambar hiasan
A
A
A

RAMADAN tahun ini kembali meriah dengan iklan bufet hotel-hotel yang muncul semula selepas ia seakan-akan sudah hilang ditelan zaman dalam tempoh dua dan tiga tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Kini pengusaha industri itu rata-rata sudah bersedia untuk menerima semula kunjungan orang ramai yang hendak berbuka puasa dengan pelbagai pakej ditawarkan.

Lampu hiasan berupa ketupat, bulan, dan bintang digantung di lobi hotel, manakala iklan pakej berbuka menghiasi laman sosial masing-masing termasuk di dada akhbar.

Keadaan ini suatu pemandangan yang janggal untuk dilihat ketika sambutan Ramadan semasa Malaysia dan seluruh dunia dilanda Covid-19 bermula Disember 2019.

Selepas itu sektor pelancongan dan perhotelan terjejas teruk ketika krisis Covid-19 melanda namun Ramadan kali ini adalah peluang yang ditunggu-tunggu.

Tahun ini adalah tahun untuk pengusaha industri menebus semula kerugian yang dialami mereka selepas negara tidak lagi menetapkan sebarang syarat untuk bergerak.

Tiada lagi prosedur operasi standards ditetapkan selain pengendali makanan hanya perlu memakai pelitup muka disambut dengan tangan terbuka hotel yang menganjurkan bufet berbuka puasa.

Pada tahun lalu penjarakan sosial di tempat makan menghalang banyak hotel yang menawarkan bufet berbuka puasa untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi yang tersedia.

Meja dijarak agak jauh dan setiap meja hanya boleh muatkan enam orang sahaja untuk satu keluarga, maka mereka tak dapat menempatkan ramai pelanggan seperti selalu.

Namun, Ramadan pada kali ini semuanya kembali kepada keadaan normal kerana tempahan awal bufet berbuka puasa boleh dikatakan mendapat sambutan yang positif.

Beberapa hotel yang dihubungi menyatakan walaupun bulan Ramadan belum tiba, tetapi mereka sudah menerima tempahan untuk berbuka puasa malah ada hari-hari tertentu sudah penuh ditempah.

Namun, umat Islam diingatkan tidak membazir ketika menikmati juadah berbuka puasa, termasuk terpengaruh dengan iklan makanan atau minuman yang menjadi viral di media sosial.

Ini kerana, Ramadan adalah bulan umat Islam berpuasa dan meningkatkan amalan yang mendatangkan pahala, justeru tidak sepatutnya dicemarkan dengan pembaziran.

Ibadat puasa itu sendiri mengajar kita supaya menahan lapar dan dahaga serta mengawal nafsu. Oleh itu, umat Islam perlu mengelak daripada membeli juadah secara berlebihan sehingga terpaksa dibuang selepas waktu berbuka.

Kalau diikutkan nafsu, memang kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai juadah lebih-lebih lagi yang berwarna-warni selain makanan atau minuman yang menjadi viral di laman sosial.

Tidak salah membeli, tetapi jangan berlebihan. Umat Islam perlu menghayati sunnah Nabi Muhammad SAW yang mengajar mengenai kesederhanaan, termasuk berbuka puasa dengan tiga biji kurma dan tidak makan serta minum sehingga terlalu kenyang.

Namun, trend berbuka puasa secara bufet di hotel ini tidaklah menjadi kesalahan asalkan tidak membabitkan pembaziran dan acara yang melalaikan. Ini tidak salah asalkan umat Islam tetap mengamalkan kesederhanaan dan tidak membazirkan makanan.

Kita juga tidak boleh menghadap makanan terlalu lama sehingga terlewat solat Maghrib dan jangan dilupa kehadiran Ramadan bukan sekadar menyempurnakan ibadat berpuasa.

Sehubungan itu, Ramadan perlu dilihat dari perspektif al-Quran untuk memahami hikmah dan maqasid syariah di sebalik perintah ALLAH SWT ini.

Dalam setahun ada banyak bulan tetapi ALLAH SWT memilih hanya pada Ramadan untuk berpuasa, sekali gus menjadikannya antara ibadat selain haji yang susah.

Hikmahnya supaya dapat melatih jiwa kita melakukan suruhan ALLAH SWT walaupun dalam keadaan penuh dugaan kerana dengan keimanan tinggi, tugas berpuasa tetap dapat dilaksanakan.

* Mohd Azlim Zainury ialah wartawan Sinar Harian Selangor/Kuala Lumpur