Bapa terkilan, Nurul Jannatun tak sempat pakai baju raya

Muhammad Jamathir ketika ditemui di Jabatan Forensik HTAR, Klang pada Khamis.
Muhammad Jamathir ketika ditemui di Jabatan Forensik HTAR, Klang pada Khamis.
A
A
A

KLANG - "Terkilan apabila baju kurung untuk anak yang dibeli tidak sempat dipakai." Demikian luah Muhammad Jamathir Ahmad Nordin, 32, selepas kematian anak keduanya dalam nahas jalan raya ketika pulang dari sekolah di Telok Gong, di sini pada Khamis.

Menurutnya, Nurul Jannatun Assyifa, 9, sempat bersalaman dengannya pada pagi sebelum pergi ke sekolah agama.

"Dia (arwah) sempat salam dengan saya selepas Subuh sebelum saya pergi bekerja. Ketika itu macam biasa sahaja dan tidak ada apa yang pelik.

"Kalau saya imbas dua tiga hari lepas pun tiada apa-apa yang lain.

"Kemalangan itu berlaku ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pulang sekolah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada Khamis.

Jenazah Nurul Jannatun dibedah siasat di Jabatan Forensik HTAR Klang pada Khamis.
Jenazah Nurul Jannatun dibedah siasat di Jabatan Forensik HTAR Klang pada Khamis.

Kata ayah kepada tiga anak itu, dia dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan daripada isterinya sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 11.35 pagi.

Ujar Muhammad Jamathir, dia menyifatkan Nurul Jannatun sebagai anak yang baik dan sering membantu ibu di rumah.

Dalam keadaan sebak, Muhammad Jamathir sempat berkongsi bahawa dia dan ahli keluarga telah menempah baju raya untuk persiapan di Syawal nanti.

"Kami telah membeli baju raya warna hitam secara online dan tempahan telah diterimanya beberapa hari lalu.

"Arwah teruja dan seronok dengan pilihan bajunya," katanya.

Tambah Muhammad Jamathir yang berasal dari Bota, Perak, dia reda dengan apa yang berlaku.

Difahamkan, jenazah Nurul Jannatun akan dikebumikan di Telok Gong, Klang.

Mengulas kecederaan mengenai anak ketiganya, Alif Zahfran, 7, yang turut terlibat dalam insiden itu, katanya, mangsa sedang dirawat di HTAR akibat mengalami kecederaan di kepala dan terpaksa menerima jahitan.

"Isteri saya ada bersama Alif di wad untuk pemantauan," ujarnya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia manakala adik lelakinya cedera selepas motosikal yang dibonceng bersama jirannya dilanggar treler di Jalan Tengah, Kampung Telok Gong, Klang.