Murid perempuan maut digilis treler ketika pulang dari sekolah

Anggota bomba tiba bagi membantu menguruskan mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kampung Telok Gong, Selangor pada Rabu.
Anggota bomba tiba bagi membantu menguruskan mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kampung Telok Gong, Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut akibat digilis treler ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, pagi Rabu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 11.25 pagi.

Beliau berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler yang melanggar motosikal dinaiki mangsa bersama seorang wanita berumur 54 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

"Wanita yang juga pengasuh kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang.

"Pengasuh dan kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Morni berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala wanita dan kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut. - Bernama