Cools janji benteng kekal tenang

Cools (kanan) pada sidang media menjelang aksi berdepan Turkmenistan.
Cools (kanan) pada sidang media menjelang aksi berdepan Turkmenistan.
A
A
A

KEJAYAAN Harimau Malaya melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas Turkmenistan dalam aksi Kumpulan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun lalu, disifatkan satu kenangan terindah.

Malah 'perlawanan ulangan' kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Khamis mahu dimanfaatkan pasukan negara dengan mengelak sebarang kebolosan gol.

Itu iltizam Kapten Harimau Malaya, Dion Cools yang mahu benteng pertahanan pasukan negara memulakan persediaan menentang Turkmenistan tanpa bolos sebelum menyelak tirai pusingan akhir Piala Asia 2023.

"Pemain Harimau Malaya memberi jaminan untuk mengawal sehabis baik benteng pertahanan daripada dibolosi pasukan Turkmenistan, kami akan lebih berwaspada dan tidak melakukan kesilapan mudah.

"Saya juga akan menggunakan pengalaman beraksi membantu rakan sepasukan mencipta kejayaan.

"Malah saya percaya kombinasi pemain baharu dan senior dalam Harimau Malaya ini akan memperkukuhkan lagi pasukan dan menambah baik kualiti supaya menjadi lebih baik.

“Saya juga yakin kualiti dimiliki setiap pemain dapat memastikan pasukan ini mencapai matlamat dimahukan pengendali Kim Pan-gon," katanya yang menyarung jersi kelab Buriram United FC yang beraksi di Liga Thailand.

Sebagai rekod, perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim merupakan penampilan pertama Harimau Malaya selepas kali terakhir beraksi di Johor ketika kecundang 1-2 kepada Lubnan pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2017.