Penganjuran Thai Hot Guy dibatalkan - PDRM

 Penganjuran program Thai Hot Guy yang dirancang akan diadakan di sebuah premis di Jalan Tun Razak pada 30 Mac ini dibatalkan.
Penganjuran program Thai Hot Guy yang dirancang akan diadakan di sebuah premis di Jalan Tun Razak pada 30 Mac ini dibatalkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran program Thai Hot Guy yang dirancang akan diadakan di sebuah premis di Jalan Tun Razak pada 30 Mac ini dibatalkan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, promosi berkaitan program tersebut menerusi media sosial didapati menimbulkan reaksi yang tidak menyenangkan serta kecaman daripada seluruh lapisan masyarakat.

Menurut beliau, satu perjumpaan telah diadakan dengan pihak penganjur dan pengurusan premis tersebut.

"Amaran keras telah diberikan oleh pihak polis kepada pihak penganjur agar program tersebut tidak diteruskan dan dibatalkan.

"Pihak penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program tersebut dan tiada sebarang program atau aktiviti yang tular sebelum ini akan diadakan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, semakan sehingga jam 4 petang mendapati sebanyak 60 laporan polis telah diterima yang membantah penganjuran program berkenaan.

"Pihak polis peka mengenai penganjuran program-program yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Ujar beliau, pihaknya akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjalankan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran," katanya.

Pada Isnin, sebuah akaun Facebook memuat naik hantaran mengenai program Thai Hot Guy yang difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki macho di sebuah bar di Kuala Lumpur pada 30 Mac ini.