Rasuah: Wan Saiful akan kemuka representasi semak pertuduhan

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Penerangan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan akan mengemukakan representasi di Mahkamah Sesyen di sini, untuk menyemak pertuduhan terhadapnya iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta.

Peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad berkata demikian ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afif Ali berkata, pendakwaan sudah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pasukan pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah pada Rabu.

Menurutnya, sebahagian lagi dokumen seperti dokumen bank dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan diberikan nanti.

“Kami perlukan masa untuk mendapatkan dokumen asal daripada bank,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Selepas prosiding, Azimin berkata, tiada sebarang keputusan dibuat berhubung representasi itu kerana ia hendaklah berdasarkan dokumen berkaitan kes yang akan diberikan oleh pihak pendakwaan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor ini didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai dan 30 September 2022.