Kadar zakat fitrah di Pahang kekal RM7

Ahmad Hairi (tengah) menunjukkan peruntukan yang disediakan Muip untuk diagihkan kepada penerima termasuk golongan asnaf dan saudara baharu di Pahang sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.
Ahmad Hairi (tengah) menunjukkan peruntukan yang disediakan Muip untuk diagihkan kepada penerima termasuk golongan asnaf dan saudara baharu di Pahang sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.
A
A
A

PEKAN - Kadar zakat fitrah di Pahang bagi Ramadan tahun ini kekal RM7 seorang.

Bagaimanapun, buat pertama kalinya umat Islam yang berkemampuan di negeri ini digalakkan menunaikan zakat fitrah mengikut jenis dan harga beras digunakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, individu yang menggunakan beras wangi atau setara kadar zakat fitrahnya RM14 manakala RM21 bagi individu yang memakan beras basmathi dan seumpamanya.

Menurutnya, kadar pilihan itu bukan kemestian sebaliknya kadar minimum yang diwajibkan masih RM7 seperti yang ditetapkan.

"Seramai 934 amil telah ditauliahkan bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah tahun ini selain kemudahan pembayaran secara dalam talian melalui pautan ezakat.muip.gov.my.

"Umat Islam di Pahang dinasihatkan membayar zakat fitrah mereka melalui amil yang bertauliah.

"Mengutip zakat fitrah tanpa tauliah atau kebenaran Muip satu kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2023 di Pejabat Muip di sini, pada Rabu.

Ahmad Hairi berkata, Muip menyasarkan kutipan zakat fitrah tahun ini berjumlah RM7.5 juta berbanding jumlah kutipan tahun lalu RM7.4 juta.

"Sempena Ramadan ini, Muip memperuntukkan lebih RM4.6 juta untuk agihan bantuan kepada 10,012 ketua keluarga asnaf fakir dan miskin (penerima zakat bulanan).

"Lebih RM4.2 juta disediakan untuk sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan kepada 682 masjid dan surau kebenaran Jumaat di negeri ini.

"Sempena Syawal pula, pihak majlis turut mengagihkan bantuan tahunan Hari Raya Aidilfitri RM7.8 juta kepada 16,893 ketua isi rumah asnaf fakir miskin daripada penerima bantuan bulanan," jelasnya.

Menurutnya lagi, golongan saudara baharu juga akan menerima bantuan itu melalui peruntukan RM1.5 juta melibatkan 8,627 ketua isi rumah.