Selamat datang Ramadan yang dirindui

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MULAI esok semua umat Islam di seluruh negara akan mula menjalani ibadah puasa.

Ia merupakan bulan yang amat ditunggu-tunggu kerana kita semua dapat berusaha untuk meningkatkan keimanan dan amal sebagai seorang Islam.

Ini juga adalah masa untuk kita meninggalkan segala keburukan dan mula melakukan kebaikan demi untuk beroleh kebaikan dunia serta akhirat.

Sebagai seorang Islam, antara yang perlu dilakukan ialah memperbaiki apa sahaja kelemahan kita selama ini dan bermuhasabah dengan perbuatan yang tidak seharusnya kita lakukan pada masa lalu.

Selain memperbaiki solat fardu, kita juga boleh menambah solat-solat sunat, selain memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bersedekah.

Sekurang-kurangnya ibadah puasa yang kita jalani itu tidaklah sekadar menahan lapar dan dahaga.

Merak Jalanan ingin juga menimbulkan tentang pertelingkahan umat Islam terutama mengenai hal-hal yang berkaitan politik.

Ada yang sengaja direka-reka dan dimainkan oleh pihak tertentu untuk meraih kepentingan politik masing-masing, sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni.

Mungkin sempena bulan Ramadan yang mulia ini, semua serangan-serangan, fitnah dan adu domba dalam politik perlu dihentikan.

Ini adalah masa untuk kita semua bina semula negara yang kita cintai ini.

Terlalu asyik bertelagah tidak akan menguntungkan sesiapa pun.

Walaupun kedengaran agak klise untuk kita menasihatkan orang-orang politik untuk menghentikan pertelagahan, namun atas semangat cahaya Ramadan adalah lebih baik kita semua menumpukan kepada hal-hal kebaikan berbanding keburukan.

Semoga Ramadan kali ini akan jadi titik permulaan yang baik kepada kita semua untuk hidup dalam keadaan harmoni dan sentosa.