Ramadan bukan pesta makanan

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

BULAN Ramadan yang dinanti-nantikan semua umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia kini sudah tiba.

Pada bulan tersebut, umat Islam diwajibkan menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa termasuk makan dan minum.

Ketika ini jugalah masyarakat Muslim turut mengambil peluang meraikan hubungan kekeluargaan dan persahabatan dengan menyediakan pelbagai jenis juadah untuk berbuka.

Sepanjang bulan Ramadan, aktiviti makan dan makanan tidak dapat dipisahkan. Lihat sahaja lambakan makanan yang tersedia di bazar-bazar Ramadan dan bufet mewah di restoran mahupun hotel lima bintang.

Terbayang-bayang kepelbagaian makanan dan minuman yang terhidang. Daripada lauk-pauk sehingga aneka kuih-muih serta dan pelbagai variasi minuman tersedia sehingga jadi rambang mata untuk memilihnya.

Selepas seharian berpuasa, apa sahaja makanan di depan mata semuanya nampak sedap. Pendek kata, kalau boleh semua hidangan hendak dibeli dan dinikmati. Dompet yang tebal pun boleh jadi nipis.

Di sebalik kesucian bulan Ramadan, ada juga tewas dengan nafsu makan sehingga berlakunya pembaziran.

Ramadan yang sepatutnya mengajak kita untuk bersederhana bertukar menjadi bulan yang paling banyak mencatatkan pembaziran makanan.

Tidak keterlaluan dikatakan, situasi itu seakan-akan menjadi budaya dalam kalangan masyarakat, malah kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata bulan lain.

Dilaporkan pada 2018, sebanyak 20,088 tan metrik makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara setiap hari semasa Ramadan.

Terbaharu, Malaysia dilaporkan berkemungkinan berdepan peningkatan lebih 75,000 tan metrik sisa makanan sempena Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ismail Mokhtar berkata, sisa makanan yang dihasilkan dijangka meningkat daripada kira-kira 17,000 tan metrik sehari pada bulan biasa kepada lebih 19,000 tan metrik sehari ketika bulan puasa.

Menurutnya, daripada 38,000 tan metrik sisa pepejal keseluruhan yang dikeluarkan setiap hari di seluruh Malaysia, sebanyak 44 peratus daripadanya adalah sisa makanan.

Inilah situasi yang selalu berlaku semasa Ramadan. Peningkatan sisa makanan, yang juga bermakna pembaziran makanan berlaku secara berleluasa mengatasi bulan-bulan lain.

Peningkatan drastik jumlah sisa pepejal bahan makanan setiap kali Ramadan sangat membimbangkan kerana ia akan mengurangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah, sekali gus menyumbang pencemaran alam sekitar.

Pembaziran makanan juga boleh membawa kepada kenaikan harga makanan memandangkan ia meningkatkan permintaan bekalan bahan mentah.

Ia tidak sepatutnya berlaku di saat negara berdepan kekurangan bekalan makanan dan bahan mentah.

Apatah lagi, kita sering dihujani rungutan demi rungutan mengenai harga barang yang serba serbi meningkat.

Di pihak kerajaan, pertambahan permintaan bekalan makanan setiap kali musim Ramadan dan perayaan bukanlah isu baharu, malah setiap kementerian mahupun agensi yang terlibat dikerah bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu pada sidang akhbar baru-baru ini berkata, pihaknya akan memastikan bekalan barang kawalan khususnya ayam dan telur mencukupi bagi menampung permintaan tinggi menjelang Ramadan.

“Sepatutnya bulan puasa kena kurang makan, ini kenapa nak tambah bekalan makanan,” kata Mohamad secara bergurau.

Umat Islam seharusnya kembali menghayati tujuan dan hikmah berpuasa. Ramadan bukan hanya bulan menahan diri daripada makan di siang hari tetapi juga melatih untuk lebih berdisiplin dan mengawal nafsu.

Ramadan juga sepatutnya mengajar kita untuk hidup sederhana, maka amalan perbelanjaan secara sederhana dan berhemah perlu dititikberatkan.

Penting untuk membuat anggaran belanja sebelum melangkah ke bazar Ramadan. Beli makanan dengan jumlah yang munasabah, bergantung kepada keperluan masing-masing.

Elakkan melakukan pembaziran dengan membeli bufet Ramadan yang harganya kadang-kadang tak masuk akal. Jangan jadikan bulan Ramadan sebagai pesta makanan sehingga berlaku pembaziran.

Ramadan adalah bulan keinsafan, adalah lebih baik kita bersederhana dalam segala perkara.

* Arney Syema Anua ialah Editor Pengisian Sinar Harian