Lelaki larikan barang kemas RM91,000 diberkas

No Image Caption
A
A
A

TEMERLOH - Seorang lelaki yang disyaki terlibat mencuri dan melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM91,000 dari sebuah kedai emas di Mentakab di sini pada Isnin lalu berjaya dicekup polis hari yang sama.

Suspek berusia 46 tahun ditahan hasil serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan tersebut kira-kira jam 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, susulan penahanan suspek itu, polis berjaya menemui dan merampas empat utas rantas emas yang dicuri.

Menurutnya, kejayaan tangkapan itu hasil siasatan dilakukan susulan laporan polis dibuat pemilik kedai emas mendakwa berlaku kecurian barang kemas oleh suspek di premis miliknya.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika pemilik sibuk melayan pelanggan.

"Suspek yang ditangkap kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

"Semakan mendapati suspek turut memiliki rekod jenayah lampau berkait kes perjudian," katanya.