Syamsul Yusof failkan nusyuz terhadap Puteri Sarah

Syamsul Yusof
Syamsul Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah filem Syamsul Yusof pada Selasa memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya pelakon Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.

Permohonan itu difailkan Syamsul, atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof, 39, terhadap Puteri Sarah Liyana atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin,38, di hadapan Pendaftar Mahkamah Syariah Harun Hashim pada jam 3.10 petang.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Shamsul mendakwa Puteri Sarah sering menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang tanpa pengetahuan beliau sehingga mengganggu rumah tangga lelaki itu.

Selain itu, Mohd Shamsul mendakwa Puteri Sarah telah meninggalkan beliau selama lebih dua tahun dan ia bertentangan dengan kemahuannya.

Shamsul berkata, pelbagai langkah dan usaha juga telah diambil untuk memujuk Puteri Sarah supaya kembali ke pangkuan beliau dan memerintah defendan supaya kembali taat namun wanita itu enggan sebaliknya telah mengeluarkan kenyataan tidak benar, berunsur fitnah dan tohmahan terhadap dirinya.

Sehubungan itu, Mohd Shamsul memohon supaya mahkamah mengisytiharkan Puteri Sarah telah nusyuz terhadap plaintif sejak Oktober 2020 dan defendan tidak berhak menerima nafkah isteri sejak tarikh nusyuz disabitkan.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Seksyen 61(3) (b)(i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Sebelum itu, peguam Syarie Azmi Tan Seri Dr Mohd Rais yang mewakili Mohd Shamsul memaklumkan pihaknya akan menyerahkan saman kepada pihak Puteri Sarah dalam masa terdekat.

"Pada hari ini, Mohd Shamsul telah memfailkan kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah dan kami baharu sahaja mendapat kebenaran untuk menyerahkan saman di luar bidang kuasa memandangkan Puteri Sarah tinggal di Wilayah Persekutuan.

"Oleh itu, kami akan menyerahkan saman nusyuz ini dalam tempoh terdekat," katanya yang turut memaklumkan bahawa sebutan kes itu ialah pada 6 April ini.

Mohd Shamsul ketika ditemui pemberita berkata, tujuan beliau memfailkan permohonan tersebut ialah untuk menyelamatkan kembali rumah tangga mereka kerana pelakon filem Munafik itu masih menyayangi isterinya.

"Saya mahu selamatkan rumah tangga kerana masih memikirkan anak-anak, kita nak cakap soal kesilapan, semua orang buat silap, isteri saya pun ada kesilapan juga,” katanya.

Pada 16 Januari lepas, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai terhadap Mohd Shamsul secara baik dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, pada 7 Mac lepas, Mohd Shamsul enggan menceraikan Puteri Sarah kerana tidak bersetuju dengan permohonan itu.

Pada prosiding itu, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah memohon untuk melalui proses hakam keluarga tanpa melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam permohonan perceraian namun peguam Roshdan Sujak yang mewakili Mohd Syamsul membantah.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Akmaluddin Ilyas kemudian memerintahkan pasangan itu melantik wakil JKP selepas memutuskan bahawa tiada keadaan luar biasa dalam permohonan Puteri Sarah untuk tidak melalui proses JKP dan terus ke hakam keluarga. - Bernama