Pelajar sekolah di Johor rekod kepadatan kritikal

Norlizah pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar pada Selasa.
Norlizah pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kawasan Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Skudai, merekodkan kepadatan pelajar yang kritikal.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh berkata, kepadatan pelajar menyebabkan suasana sekolah menjadi sesak dan tidak selesa untuk belajar.

"Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkar Pulai, Skudai, kelas Tingkatan Satu sahaja dilaporkan sehingga 22 kelas, berikutan kawasan itu sangat padat penduduk.

"Jika keadaan sebegitu sebenarnya perlu bina bangunan atau sekolah baharu namun kita perlu cari kawasan yang sesuai selain prosesnya juga tidak mudah kerana membabitkan kelulusan pelbagai agensi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhar di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Selasa.

Norlizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama menjelaskan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur pendidikan yang kondusif.

"Dalam konteks pembinaan sekolah baharu, JPN Johor akan mendapatkan input dan cadangan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru (PPD).

"Seterusnya, JPN Johor akan melaksanakan analisis keperluan selain kesediaan tapak atau tanah.

"Antara perkara lain yang diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk (catchment area) serta perancangan pembangunan kawasan terbabit berdasarkan perbincangan bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.