Lelaki murung hilang tempat tinggal

Kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Rhu Renggeh di sini, malam tadi. Gambar kecil, jiran mangsa, Mohd Khairul Zulkifli.
Kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Rhu Renggeh di sini, malam tadi. Gambar kecil, jiran mangsa, Mohd Khairul Zulkifli.
A
A
A

MARANG - Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah kemurungan hilang tempat tinggal dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Rhu Renggeh di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira kira jam 9.40 malam itu, kebakaran dipercayai bermula dari rumah didiami Yusri Ismail, 30-an, sebelum merebak ke rumah berhampiran yang tidak lagi dihuni oleh sesiapa. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jiran mangsa, Mohd Khairul Zulkifli, 21, berkata, kejadian itu berlaku sejurus selepas dia menemui Yusri yang ketika itu mahu keluar dari rumah berkenaan.

"Saya naik ke rumah untuk tengok dia (Yusri). Nak tanya dia sudah makan atau belum tetapi kami hanya berselisih. Sebaik sahaja dia keluar dari bilik dia terus turun ke bawah dan saya pun beredar.

"Tak lama kemudian kebakaran berlaku. Dari rumah saya (hanya kira-kira dua meter) nampak api marak. Saya panik tak tahu nak buat apa dan segera minta kakak dan ibu saya keluar dari rumah," katanya.

Ibu saudara mangsa, Faridah Safie, 50, yang juga tinggal berhampiran, berkata, dia hanya menyedari rumah anak saudaranya itu dijilat api selepas dimaklumkan sendiri oleh Yusri yang bergegas ke rumahnya.

Menurutnya, ketika itu, api mulai marak menyebabkan dia tidak mampu untuk berbuat apa apa kebetulan pula hanya dia dan dua anaknya sahaja yang berada di rumah ketika kebakaran berlaku.

"Saya pegang dia (Nazri) kerana bimbang dia masuk semula ke dalam rumah yang terbakar itu. Saya sendiri ketika itu 'ketar lutut' tengok api marak tambahan jarak rumah saya juga agak dekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Faridah yang ditemui di lokasi kejadian berkata, anak saudaranya itu tinggal seorang diri di rumah berkenaan sejak dua tahun lalu setelah kedua ibu bapanya bercerai.

Rumah berkenaan musnah sepenuhnya namun sembilan anggota yang diketuai Ketua Operasinya, Pegawai Bomba Kanan ll, Salim Mat Seman, dapat mengawal kebakaran dari merebak ke rumah lain yang berdekatan dan kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 10.50 malam.

Bagaimanapun, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan pihak Bomba Dan Penyelamat Marang.