Suami isteri tak mengaku perdagang anak perempuan OKU

Salleh dan Siti Aida dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Selasa.
Salleh dan Siti Aida dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Selasa.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan memperdagangkan anak perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam bagi tujuan eksploitasi seksual Januari lalu.

Tertuduh, Salleh Ali, 63, dan Siti Aida Ismail, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memperdagangkan anak perempuan mereka berusia 20 tahun yang juga pemegang kad OKU masalah pembelajaran pada bulan Januari hingga 14 Februari lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pangsa Desa Wawasan, Jalan Tembikai di Bukit Mertajam antara jam 6 petang hingga 10 malam.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun tidak menawarkan sebarang jaminan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 20 April sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.