Wanita dominasi penyakit osteoporosis

Berupaya untuk sembuh namun perlu mengikuti preskripsi, rawatan yang disyorkan pakar

A
A
A
SEMAKIN menginjak usia, manusia tidak kira lelaki atau wanita, masing-masing sudah kurang tenaga, berpenyakit dan pelupa.

Namun, hal-hal itu mungkin dapat dielakkan sekiranya pada zaman muda, kita menjaga kesihatan tubuh badan dengan baik.

Menyentuh tentang osteoporosis atau tulang rapuh, seorang pakar tulang, Anita Hutagulung memberitahu, salah satu faktor mengapa penyakit itu boleh menimpa seseorang ialah disebabkan mereka tidak mempedulikan bahaya penyakit tersebut ketika mereka masih belia dan kuat.

"Osteoporosis merupakan penyakit orang tua, namun, ia merupakan hasil daripada (amalan) ketika mereka belum meningkat usia.

"Mereka suka minum kopi, merokok dan jarang sekali bersukan dan hal ini boleh mendorong sesetengahnya menghidap osteoporosis apabila sudah berusia," kata Anita kepada sebuah majalah antarabangsa.

Tidak seperti beberapa penyakit lain, osteoporosis atau penyakit tulang berliang sebenarnya boleh dicegah dengan beberapa pendekatan.

x-default
x-default

Apakah langkah-langkah itu? Apakah ciri-ciri penyakit tersebut? Bolehkah ia sembuh 100 peratus?

Semua persoalan dijawab oleh Sihat:Aktif menerusi temu bual bersama dua pakar bertauliah.

Artikel Berkaitan:

Makin serius

SEAWAL usia 50 tahun, Norhayati Abu sudah mengalami sakit tulang belakang dan tulang pinggul.

Suri rumah itu menyangkakan itu hanya sakit biasa. Biarpun, sudah hampir tiga bulan, sakitnya masih tidak pulih malah semakin serius.

Selain itu, Norhayati berkata, sakit sendi terutama pada lutut juga seringkali menghantuinya.

Ia semakin menjadi-jadi tatkala mahu solat. Akhirnya, beliau terpaksa memilih untuk melakukan ibadah wajib itu di atas kerusi.

Norhayati
Norhayati

"Sebenarnya pada awal umur 40 tahun lagi, gigi saya juga mudah sangat tercabut. Hanya beberapa batang gigi yang 'bertahan'. Sekarang, saya pakai gigi palsu.

"Terus terang saya kata, masalah sendi, sakit tulang belakang dan gigi mudah tertanggal ini memang telah menyukarkan kehidupan harian saya," kongsinya kepada Sihat:Aktif.

Khuatir dengan keadaan dirinya, Norhayati berkata, beliau berjumpa pakar perubatan.

Selepas menjalani beberapa ujian, wanita berkenaan berkata, beliau terkejut apabila dirinya disahkan mengalami osteoporosis Type 1.

Bercerita tentang osteoporosis, lazimnya ia dikaitkan dengan masalah kekurangan kalsium dan rata-rata penghidapnya ialah warga emas.

Hasil penyelidikan bersama antara Universiti Putra Malaysia dan Universiti Otago, New Zealand menunjukkan kebanyakan wanita Malaysia mendapat kurang daripada 50 peratus jumlah kalsium yang disarankan untuk kesihatan tulang.

Menjelang tahun 2050, kesan osteoporosis di Asia dikatakan bakal menunjukkan peningkatan apabila lebih 50 peratus pesakit dijangka berdepan masalah tulang retak atau patah tulang pinggul.

Bagi menyelami lebih lanjut tentang penyakit osteoporosis yang dikatakan sebagai pembunuh senyap, Sihat:Aktif mewawancara Pakar Bedah Ortopedik, Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed atau lebih dikenali sebagai Dr Mahyuddin.

Tulang rapuh

Bagi memudahkan penjelasan, Dr Mahyudin memberi analogi osteoporosis dengan sebiji telur.

Dr Mahyuddin
Dr Mahyuddin

Jelasnya, tulang seseorang umpama cengkerang telur yang nipis. Terjemahan mudahnya, osteoporosis adalah keadaan yang mana tulang manusia mudah rapuh.

Definisi itu selari dengan takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai penyakit itu.

Menurut WHO, osteoporosis merupakan satu keadaan kehilangan kepadatan tulang yang mengakibatkan tulang-tulang rapuh dan mudah patah.

Dr Mahyuddin memberitahu, osteoporosis didorong oleh pelbagai faktor dan dibahagikan kepada dua jenis iaitu Primary Osteophorosis dan Secondary Osteophorosis.

Primary Osteophorosis ialah keadaan yang mana berlaku tanpa disebabkan oleh ubat-ubatan atau masalah perubatan yang lain. Ia terdiri daripada dua jenis iaitu:

1 Osteoporosis Type 1: Berlaku kepada wanita apabila mereka mengalami proses menopaus. Wanita yang mengalami osteoporosis ini terdedah kepada patah tulang belakang dan pergelangan tangan.

2 Osteoporosis Type 2: Jenis kedua osteoporosis ini melibatkan proses penuaan dan dilihat berlaku terhadap pesakit yang berusia 75 tahun ke atas bagi kedua-dua jantina. Ia disebabkan oleh kurangnya penyerapan kalsium.

Jika dibandingkan dengan osteoporosis Type 2, majoriti pesakit osteoporosis Type 2 lebih terdedah kepada patah tulang pinggul dan paha.

Antara perkara yang boleh meningkatkan risiko Primary Osteophorosis berlaku ialah:

a. Genetik – caucasian (berkulit putih), orang Asia, wanita, sejarah keluarga, bertubuh kurus

b. Hormon – Kekurangan hormon oestrogen, menopause

c. Gaya hidup – Merokok, pengambilan alkohol dan kehidupan tidak aktif

d. Diet – Kekurangan pengambilan kalsium atau vitamin D

Jelas Dr Mahyuddin, Secondary Osteophorosis pula terjadi akibat daripada pengambilan ubat-ubatan tertentu atau disebabkan oleh masalah kesihatan pesakit.

"Sesetengah ubat boleh menyebabkan osteoporosis berlaku apabila ia menghalang proses penyerapan kalsium atau mengganggu metabolisme kalsium di dalam badan. Antara contoh ubat-ubatan ini ialah thyroxine, antacid, lithium dan warfarin.

"Metabolisme kalsium juga boleh terganggu bagi pesakit yang menghidap penyakit hati kronik, penyakit buah pinggang kronik, masalah sistem endokrin dan usus," katanya.

Simptom

Ramai pesakit yang mengalami osteoporosis disebabkan rasa sakit atau sengal-sengal tulang terutamanya pada bahagian belakang dan pinggang. Tidak kurang juga yang mendapatkan rawatan akibat patah tulang.

Mengulas hal itu, Dr Mahyuddin berkata, 'kepatahan' yang kerap berlaku bagi pesakit osteoporosis itu lazimnya melibatkan tulang pergelangan tangan, tulang pinggul dan juga tulang belakang.

"Setiap 'kepatahan' ini mempunyai teknik rawatan yang berbeza bergantung kepada lokasi dan konfigurasi 'kepatahan' tersebut," katanya sambil memberitahu, golongan yang berusia seawal usia 60 tahun yang mana 70 peratus adalah wanita dan 19 peratus lelaki mengalami osteoporosis.

Namun, usah terlalu bimbang kerana tidak semua warga emas mendapat osteoporosis.

Bagi mengetahui tahap kekuatan tulang seseorang atau Bone Mass Density (BMD), doktor biasanya akan melakukan ujian Dual Energy Xray Absorptiometry atau DEXA Scan, kata pakar berkenaan.

Ujian itu akan menggunakan teknologi x-ray dan ia memberi nilai tertentu bagi tulang setiap pesakit yang diuji.

Nilai tersebut diberi dalam bentuk T-score iaitu ia membandingkan tulang pesakit dengan populasi muda (dalam jantina dan bangsa yang sama).

T-score antara -1 dan -2.5 menunjukkan kekuatan tulang yang merosot (keadaan yang dikenali sebagai osteopenia) manakala osteoporosis pula akan menunjukkan nilai T-score yang lebih rendah daripada -2.5.

Adakah penyakit itu boleh dicegah? Ujar Dr Mahyuddin: "Rawatan yang terbaik ialah dengan memastikan BMD yang optimal (T-score antara 0 ke -1). Ia boleh dicapai dengan pengambilan sumber kalsium yang mencukupi.

"Risiko osteoporosis juga boleh diminimumkan sekiranya seseorang berhenti merokok, tidak mengambil minuman beralkohol, mengamalkan pemakanan yang seimbang dan melakukan senaman secara berkala," ujar beliau lagi.

Boleh sembuh

Turut berkongsi berkenaan penyakit osteoporosis ialah Pakar Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ima Nirwana Soelaiman.

x-default
x-default

Menerangkan lebih lanjut, pakar itu berkata, osteoporosis ialah sejenis penyakit tulang penyakit yang mana rongga-rongga atau liang-liang di dalam tulang menjadi lebih besar daripada normal. Ini menjadikan tulang kurang padat dan sekali gus menjadi lemah dan mudah patah.

"Kepadatan tulang maksimum berlaku sekitar usia 30-an. Selepas itu, tulang mula menyusut dengan perlahan. Untuk wanita, penyusutan ini menjadi lebih ketara menjelang menopaus.

"Osteoporosis boleh terjadi sekitar umur 50-an untuk wanita, dan 60-an untuk lelaki. Oleh itu, wanita dan lelaki dalam lingkungan umur itu digalakkan menjalani pemeriksaan pengukuran ketumpatan tulang menggunakan alat radas Dual-Energy XRay Absorptiometer (DXA)," katanya yang tidak menafikan DXA agak mahal untuk sekali ujian.

SESEORANG boleh mengukur ketumpatan tulang menggunakan teknologi DXA.
SESEORANG boleh mengukur ketumpatan tulang menggunakan teknologi DXA.

Justeru, apa yang boleh dilakukan bagi mengelakkan osteoporosis? Demikian saranan Dr Ima Nirwana:

a. Lakukan senaman berimpak tinggi seperti berjalan, berjoging, melompat dan menari yang memberi rangsangan kepada tulang untuk membina jisim yang padat dan kuat.b. Pemakanan yang seimbang dan kaya dengan kalsium serta vitamin D. c. Vitamin D daripada cahaya matahari yang mencukupi setiap hari. Ia penting untuk tulang yang sihat dan kuat.

d. Elakkan tabiat buruk merokok dan meminum alkohol.

e. Kurangkan pengambilan kopi.

Namun, jika simptom penyakit itu sudah sedia dihidapi, ikuti pengambilan preskripsi ubat seperti disarankan oleh doktor di samping mengamalkan gaya hidup sihat seperti yang dicadangkan.

Menjawab persoalan sama ada osteoporosis boleh dipulihkan sepenuhnya, Dr Ima Nirwana berkata, ia boleh berlaku sekiranya pesakit mengikut rawatan yang disyorkan oleh doktor.

"Di antara ubat yang berkesan untuk merawat osteoporosis ialah ialah jenis bisfosfonat, SERMS, hormone paratiroid dan antibody monoklonal. "Ubat untuk mencegah osteoporosis pula ialah kalsium dan vitamin D dan gantian hormon estrogen yang khusus untuk wanita menopaus," katanya.

Pakar tersebut memberitahu, beliau telah menjalankan kajian terperinci terhadap kebolehan vitamin E daripada tumbuhan semula jadi untuk mencegah dan merawat osteoporosis.

Antara tumbuhan yang menjadi bahan kajiannya ialah daripada minyak sawit dan minyak biji annatto (vitamin E).

Namun begitu, kajian klinikal ke atas manusia masih perlu dilakukan untuk memastikan kesan positifnya.

Faktor pemakanan mainkan peranan penting elak masalah tulang rapuh

x-default
x-default

FAKTOR pemakanan antara memainkan peranan penting bagi mengelakkan berlakunya osteoperosis.

Pegawai Dietetik, Nur Hafizah Mahamad Sobri berkata, terdapat zat-zat makanan yang perlu diberikan perhatian.

Antaranya: 1. Kalsium- Keperluan kalsium bagi wanita adalah 1,000 miligram sehari tetapi pada usia 51 tahun dan ke atas, keperluan ini meningkat ke 1,200mg sehari (RNI Malaysia 2017).

Ini disebabkan wanita menopaus lebih tinggi keberangkalian untuk mendapat osteoperosis. Bagi kaum lelaki pula, keperluan kalsium adalah 1000mg sehari.

2. Vitamin D - Vitamin D membantu meningkatkan penyerapan kalsium dalam badan. Ia hadir dalam dua bentuk iaitu daripada cahaya matahari dan diet. Amalan gaya hidup sihat dengan bersenam agar boleh meningkatkan kandungan vitamin D.

3. Makanan perlu dielakkan -

Sodium: Jika terdapat pengambilan sodium yang berlebihan, kandungan kalsium yang dikeluarkan oleh badan melalui najis kecil juga akan meningkat.

Oxalate: Makanan yang mengandungi oxalate seperti coklat, teh akan bergabung dengan kalsium mengelakkan daripada diserap dalam badan. Akhirnya, gabungan ini akan dikeluarkan melalui najis besar. Jika ingin mengambil makanan yang mengandungi oxalate, disarankan untuk tidak melebihi dua hidangan sehari.

Alkohol: Pengambilan alkohol yang berlebihan akan menganggu penyerapan kalsium.

Kepada persoalan sama ada seseorang perlu mengambil suplemen kalsium, Nur Hafizah berkata, seseorang perlu mendapatkan saranan doktor atau pegawai dietetik terlebih dahulu.

Hafizah
Hafizah

"Utamakan kalsium suplemen daripada sumber kalsium carbonate (bukan calcium citrate, calcium lactate atau calcium gluconate) kerana ini mengandungi kandungan kalsium elemental yang tertinggi.

"Pesakit digalakkan ambil dalam kuantiti sedikit tapi kerap (contoh 500mg, dua kali sehari) kerana badan tidak berupaya untuk menyerap terlalu banyak kalsium pada satu masa," jelasnya.

ANEKDOT

7 Tanda kemungkinan anda bakal menghidap penyakit osteoporosis:

1. Tulang rapuh - Tulang menjadi lemah dan mudah retak atau patah sekiranya terjatuh atau mengalami hentakan. Jika anda berada dalam situasi ini, anda sudah diwajibkan berjumpa pakar.

2. Tinggi berkurang - Sekiranya anda menghidap penyakit ini, secara tidak langsung ketinggian anda semakin berkurangan. Dalam erti kata mudah, anda semakin pendek. Justeru, pantau ketinggian anda setiap tahun.

3. Postur badan - Postur badan dilihat tidak normal seperti orang lain.

4. Kuku rapuh - Meskipun bukan merupakan indikator yang signifikan, namun, kuku rapuh juga boleh dikaitkan dengan tulang yang rapuh.

5. Malas - Jika anda malas bersenam, risiko memiliki tulang yang lemah lebih besar.

6. Rasa ngilu pada otot dan sendi - Jika kerap berlaku, sudah tiba masanya anda berjumpa dengan pakar kerana situasi itu mempengaruhi kepadatan tulang.

7. Sakit punggung - Jika anda sakit punggung yang tidak jelas akibatnya, segera temui doktor.

Sumber: Nature

Tip 7 Saranan kepada penghidap osteoporosis

1. Patuhi temu janji doktor untuk memantau perkembangan simptom dan keadaan kesihatan anda.

2. Dengar arahan doktor, jangan mengambil ubat yang tidak dipreskripsi oleh doktor atau terlepas dos ubat anda.

3. Berunding dengan ahli terapi fizikal atau pakar rehabilitasi senaman untuk menguatkan otot anda.

4. Ambil makanan yang kaya dengan kalsium dan vitamin D.

5. Jangan merokok.

6. Elakkan pengambilan alkohol berlebihan. Pengambilan lebih daripada dua minuman alkohol sehari boleh mengurangkan pembentukan tulang. Mabuk juga boleh meningkatkan risiko jatuh.

7. Elakkan terjatuh. Sila pakai kasut tumit rendah dengan tapak yang tidak licin dan pastikan perkara-perkara yang boleh membuatkan anda jatuh di dalam rumah dijauhkan seperti wayar elektrik, alas lantai dan permukaan licin. Pastikan bilik mendapat pencahayaan yang cukup, pasang pemegang di dalam dan luar pintu bilik mandi dan pastikan anda dapat masuk dan keluar dari bilik dengan mudah.

Sumber: Hello Doktor