Mangsa banjir di Batu Pahat menurun kepada 6,740 orang

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Situasi banjir di Batu Pahat menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menurun, setakat 8 pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan seramai 6,740 orang masih ditempatkan di 43 PPS, berbanding 7,972 orang di 44 PPS yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Menurut JPBN, tiga PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Li Chun (522 orang), diikuti SJKC Chong Hwa Kangkar Senangar (402 orang) dan Sekolah Kebangsaan Seri Medan (399 orang).

Cuaca diramalkan cerah di kesemua 10 daerah pada pagi ini.

Sebanyak tiga sungai masih berada pada tahap amaran iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok (19.09 meter), Empangan Sembrong di Sungai Sembrong (11.07 meter) dan Sungai Senggarang di Senggarang (3.23 meter).

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang meninjau operasi pengepaman air di daerah itu baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri sedang menggiatkan usaha menangani "banjir termenung" dan berharap ia dapat diselesaikan, sebelum tibanya Ramadan. - Bernama