MOT rancang tambah bas perantara di Kuala Lumpur

Anthony pada sesi soal jawab bersama penonton ketika Program Town Hall Rakyat pada Isnin. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Anthony pada sesi soal jawab bersama penonton ketika Program Town Hall Rakyat pada Isnin. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan dalam perancangan untuk menambah jumlah bilangan bas perantara dengan kadar segera bagi mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam itu di ibu negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan perkara tersebut dapat disegerakan.

"Usaha menambah bas ini sememangya ada dalam agenda kita dan petang tadi (Isnin) dalam mesyuarat pos kabinet perkara ini turut dibincangkan malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan saya untuk meneliti masalah berkenaan.

"Bagaimanapun, pelaksanaannya akan dibincangkan dengan terperinci terlebih dahulu sama ada perlu melantik operator swasta atau sebaliknya," katanya pada sesi soal jawab bersama penonton ketika Program Town Hall Rakyat pada Isnin.

Anthony turut mengakui hanya terdapat kira-kira 1,000 buah bas sahaja di Kuala Lumpur berbanding di negara Singapura 4,000 hingga 5,000 bas beroperasi setiap hari.

Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh pelakon, Azhar Sulaiman itu merupakan platform interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya pelbagai isu kepada pemimpin yang diundang.