Town Hall Rakyat bincang isu pengangkutan negara

Anthony ketika menjawab soalan penonton ketika Program Town Hall Rakyat bersama Anthony Loke pada Isnin. - Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Anthony ketika menjawab soalan penonton ketika Program Town Hall Rakyat bersama Anthony Loke pada Isnin. - Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendapat sambutan hangat apabila menerima kehadiran hampir 200 pengunjung ke Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin malam.

Program kali kedua Town Hall berkenaan dianjurkan Sinar Harian itu melibatkan sesi soal jawab antara Anthony dengan penonton yang hadir bagi membincangkan pelbagai isu antaranya isu pengangkutan, perkhidmatan syarikat industri e-hailing dan juga tumpuan kerajaan untuk memperkasakan pengangkutan awam negara.

Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh pelakon, Azhar Sulaiman itu merupakan platform interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya pelbagai isu kepada pemimpin yang diundang.

Program yang berlangsung pada jam 8.30 malam turut dihadiri antaranya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim dan Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Berhad, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Turut hadir, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Acara dimulakan dengan sesi temu bual melibatkan hos dan Ahli Parlimen Seremban itu selama 30 minit, diikuti sesi soal jawab bersama penonton.

Perkara yang dibincangkan pada setiap segmen tidak hanya tertumpu kepada isu nasional, malah turut mengupas isu rakyat.

Dua minggu lalu, siri pertama Town Hall Rakyat menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.