Langgar pejalan kaki, pemandu Myvi ditahan bantu siasatan

Keadaan di lokasi kemalangan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada Ahad.
Keadaan di lokasi kemalangan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu Perodua Myvi ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes dua pejalan kaki maut, dua lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Raja Laut, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dalam kejadian pada jam 3 pagi, seorang lelaki berusia 20 tahun yang sedang memandu kereta Perodua Myvi disyaki telah melanggar sebuah kereta jenis Proton Wira yang mengubah haluan.

"Akibat perlanggaran tersebut, kereta Perodua Myvi tersebut telah hilang kawalan lalu melanggar empat pejalan kaki, seorang lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Manakala seorang lagi lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon kecemasan Hospital Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Noor Dellhan berkata, dua mangsa lagi termasuk seorang wanita mengalami cedera parah kini masih dirawat di hospital sama.

Jelasnya, pemandu kereta Perodua Myvi ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berampiran," katanya.