Damok teruja buktikan kemampuan di Portugal

Syarifuddin Azman
Syarifuddin Azman
A
A
A

PELUMBA Moto3 negara, Syarifuddin Azman mengakui teruja untuk menyingkap tirai kempen sulung di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini, bermula dengan Grand Prix (GP) Portugal, di Litar Antarabangsa Algrave, Portimao, Portugal, hujung minggu ini.

Malah pelumba MT Helmets-MSL berusia 21 tahun, yang lebih dikenali sebagai Damok juga berpuas hati dengan kemajuannya semasa ujian rasmi selama tiga hari, hujung minggu lalu, di litar itu.

Katanya, pasukan dari Sepanyol itu telah melakukan penambahbaikan ketara pada persediaan jentera KTM, selain memperbaiki catatan masa sepusingannya sejak hari pertama sesi ujian berkenaan.

“Pasukannya berpuas hati dengan penambahbaikan yang saya lakukan. Saya mula memahami jentera baharu saya dengan lebih baik...pasukan mengatur ujian dengan teliti dan saya gembira dengan usaha mereka.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan atas kerja keras mereka selama tiga hari ujian terakhir. Saya benar-benar gembira," kata pelumba tunggal negara dalam saingan MotoGP musim ini tersebut, pada Isnin.

Sebagai rekod, kedudukan terbaik Damok semasa ujian itu ialah tempat ke-10 dalam latihan bebas (FP) lapan, mencatat masa 1:47.778s, peningkatan daripada tempat ke-19 dalam sesi latihan pertama iaitu 1:52.068s.

Saingan pembuka tirai kempen 2023 di litar berkenaan dari hujung minggu ini sebelum saingan beralih ke pusingan kedua di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina, 31 Mac hingga 2 April.

Damok membuat penampilan sulungnya dalam Moto3 sebagai pelumba wildcard pada GP Aragon 2021, membuat empat lagi penyertaan wildcard tahun lalu, iaitu di GP Portugal, Sepanyol, Catalunya dan Malaysia.

Sebagai rekod, kempen 2023 menyaksikan 21 pusingan perlumbaan berlangsung dengan Malaysia menjadi venue bagi pusingan ke-19 dari 10 hingga 12 November depan.