Dua pemberi maklumat antara 11 penerima penghargaan polis

Hanyan (dua dari kanan) memeriksa perbarisan kawalan kehormat sempena Sambutan Hari Polis ke-216 yang diadakan di IPD Kemaman pada Isnin.
Hanyan (dua dari kanan) memeriksa perbarisan kawalan kehormat sempena Sambutan Hari Polis ke-216 yang diadakan di IPD Kemaman pada Isnin.
A
A
A

KEMAMAN - Dua individu yang bertindak menyalurkan maklumat bagi membantu pihak polis antara penerima sijil penghargaan sempena Sambutan Hari Polis ke-216 yang diadakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dua individu tersebut merupakan antara 11 orang awam yang turut menerima sijil penghargaan pada majlis berkenaan.

"Penyampaian penghargaan kepada mereka sebagai menghargai komitmen yang ditunjukkan bagi menyokong tugas dan tanggungjawab pihak polis.

"Dengan maklumat yang disampaikan oleh mereka, pihak polis berjaya menyelesaikan beberapa kes jenayah di daerah ini," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Pada majlis tersebut, seramai 88 individu termasuk dua pegawai kanan dan 28 anggota polis IPD Kemaman, 12 anggota polis bantuan dan 35 orang kadet sekolah menerima sijil penghargaan yang disampaikan Hanyan.

Sambutan Hari Polis di IPD Kemaman dimulakan dengan acara perbarisan kawalan kehormat diketuai oleh ketua bahagian kententeraman awam, Inspektor Muhammad Syafiq Anas Mohd Salleh diikuti bacaan ikrar Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Inspektor Mohd Firdaus Abdul Fatah.

Pada majlis itu, Hanyan turut membacakan perutusan Ketua Polis Negara bertemakan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Selain itu, Hanyan turut menyampaikan sumbangan kembali ke sekolah kepada 38 orang murid tahun satu bagi sesi akademik 2023/2024 serta wang tunai kepada 50 orang kanak-kanak warga IPD Kemaman.