Borneo Eagles dalam kelas tersendiri

Pasukan Borneo Eagles mengungguli Kejohanan Ragbi Borneo Sevens di Sandakan.
Pasukan Borneo Eagles mengungguli Kejohanan Ragbi Borneo Sevens di Sandakan.
A
A
A

BORNEO Eagles membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila meraih kejuaraan kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo Tujuh Sebelah 2023 buat kali ketujuh selepas menewaskan Hong Kong China Dragons 17-12 dalam aksi final di Sandakan, Sabah.

Perlawanan sengit ulangan aksi final edisi 2019 itu menyaksikan Eagles mendahului 7-5 pada separuh masa pertama sebelum Dragons cuba bangkit pada babak kedua untuk mengikat kedudukan 12-12.

Beberapa minit sebelum wisel penamat, Kaleb Jean muncul wira Eagles apabila berjaya melakukan 'try' untuk mempertahankan kejuaraan, sekali gus memastikan kemenangan kejuaraan ketujuh selepas edisi 2004, 2007, 2015, 2016, 2017 dan 2019.

Gabungan pemain Malaysia dan warga New Zealand, pasukan Kelab Ragbi Eagles (ERC) itu menyifatkan perlawanan tersebut sukar dan sengit sehingga penghujungnya.

Ketua pasukan, Serupepeli Naqasima berkata, pasukan lawan itu merupakan skuad kebangsaan Hong Kong yang sedang membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan Hong Kong Tujuh Sebelah dalam masa dua minggu lagi.

"Kami mengelak daripada melakukan kesilapan dan memberi tekanan sehingga wisel penamat," katanya.

Sementara itu, Kelab ERC meraih kejayaan berganda apabila pasukan wakilnya, Eagles NZ 7s, muncul pasukan tuan rumah pertama menjulang trofi kategori wanita sejak pertama kali diperkenalkan pada 2001, dengan menewaskan Kazakhstan, 22-10.

Pasukan tuan rumah, dibarisi pemain warga tempatan dan warga New Zealand itu, hanya dibentuk beberapa minggu lalu dan kapten pasukan, Rebekah Cordero Tufuga berkata semua pemain berusaha keras sepanjang latihan dan perlawanan untuk mencipta sejarah.

Juara kategori lelaki dan wanita masing-masing menerima trofi dan hadiah AS$5,000 (RM22,428) manakala naib juara membawa pulang AS$2,500 (RM11,214) yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Hadir sama menyaksikan perlawanan final ialah bekas pemain All Blacks (New Zealand), Rockey Khan dan bekas jurulatih kebangsaan skuad Tujuh Sebelah Samoa, Sir Gordon Frederick Tiietjens.