Warisan Putatan tak lumpuh, susun semula kepimpinan

Mohd Shafie menyampaikan watikah pelantikan sebagai penaja kepada Uda dalam Program Bersama Akar Umbi Putatan di Putatan.
Mohd Shafie menyampaikan watikah pelantikan sebagai penaja kepada Uda dalam Program Bersama Akar Umbi Putatan di Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan bahawa Warisan Bahagian Putatan lumpuh susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas keluar daripada parti itu bulan lalu.

Sebaliknya, Mohd Shafie berkata, penyusunan semula barisan kepimpinan peringkat Putatan telah dilakukan untuk memastikan pengurusan parti dapat diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Siapa pula kata lumpuh, masih cukup. Cuma masalahnya apabila saya terlalu dengar suara Bahagian, Ketua Bahagian mahu ahli jawatankuasa (AJK) yang terdiri daripada kumpulan dia dan akhirnya yang keluar semua kumpulan dia.

"Hari ini kita menyusun semula kepimpinan di peringkat Putatan setelah beberapa keadaan yang telah berlaku di mana ADUN kita keluar.

"Maka kita telah mengambil langkah secepat yang mungkin untuk memastikan pengurusan parti dapat kita mantapkan dan perkuatkan rumah kita untuk berhadapan dengan pilihan raya yang diadakan pada bila-bila masa sama ada tahun ini atau tahun hadapan. Ini juga sebagai kesiapsiagaan dalam menyusun atur dengan melantik mereka sebagai penaja," katanya dalam sidang akhbar selepas hadir pada Program Bersama Akar Umbi Putatan pada malam Ahad.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai sebagai penaja Warisan Bahagian Putatan sebelum pelantikan barisan kepimpinan yang baharu dibentuk.

Mohd Shafie dalam pada itu turut menasihatkan kepimpinan Bahagian supaya memperkukuhkan parti dengan memgambil pengajaran apa yang berlaku di Bahagian Putatan.

"Saya tidak mahu ada kumpulan-kumpulan, mesti ada kekitaan jadi gabungkan. Bukan kuatkan Ketua Bahagian tetapi kuatkan parti, kalau kita mempunyai pendekatan menguatkan parti bukan menguatkan individu maka parti akan kuat.

"Contohnya hari ini sebagai penaja Bahagian, saya tidak mahu ambil hati ketua-ketua Bahagian, saya mahu pastikan Warisan itu kuat. Saya tidak pernah perkuatkan selaku Presiden tetapi perkukuhkan Warisan.

"Bayangkan kalau Ketua Bahagian itu diperkuatkan, esok bila segerombolan keluar parti seperti apa yang berlaku di Putatan, kita terpaksa digantung cawangan apabila AJK Bahagian keluar.

"Maka, saya nasihatkan selaku Presiden, mesti inklusif ada kekitaan dalam memimpin di seluruh bahagian," tegasnya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari mengumumkan keluar Warisan dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Beliau turut mendakwa bahawa Warisan Bahagian Putatan lumpuh berikutan sebahagian besar ahli Warisan di bahagian itu turut mengambil tindakan yang sama dengan keluar daripada parti.