ADUN Petagas pula keluar Warisan

Awang Ahmad Sah (duduk, tengah) mengumumkan keluar Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu.
Awang Ahmad Sah (duduk, tengah) mengumumkan keluar Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan (Warisan) mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Isnin.

ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari mengumumkan perkara itu dalam satu sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Beliau yang juga sebelum ini Bendahari Agung Warisan berkata, keputusan itu diambil selepas melakukan perbincangan dengan pemimpin Bahagian Putatan.

"Pada hari ini, saya berserta keseluruhan kecuali tiga atau empat cawangan, kita ada 90 cawangan dengan ini mengumumkan bahawa kami meninggalkan Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

"Lebih kurang tiga bulan saya memikirkan perkara ini selepas pilihan raya dan saya banyak juga mendengar serta melakukan perbincangan dalam kalangan pemimpin di bahagian saya.

"Nampaknya saya tidak ada sedikit keraguan pun kerana bukan saya saja yang keluar daripada Warisan tetapi boleh dikatakan keseluruhan pimpinan dari bahagian Wanita, Wirawati, sebahagian besar Wira, ketua-ketua cawangan sebulat suara untuk menyokong perpindahan ini kepada Gagasan Rakyat," katanya dalam sidang akhbar itu.

Ditanya sama ada keputusan itu dipengaruhi oleh pihak lain, beliau menyatakan ia adalah kerelaannya sendiri tanpa membawa akar umbi di bahagiannya.

"Ini kerelaan saya sendiri, saya sudah berbincang dengan mereka setelah saya berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji. Saya bukan tanya berapa duit diberikan kepada saya. Saya cuma tanya apa perancangan untuk Sabah.

"Saya berpuas hati dengan perancangan beliau buat dan selepas itu saya adakan perbincangan lanjut dengan pimpinan bahagian tanpa meninggalkan sesiapapun dan saya tidak paksa mereka ikut tindakan saya, terserah pada mereka," katanya.

Menerusi pengumuman itu, Awang Ahmad Sah mendakwa bahawa Warisan Bahagian Putatan telah pun lumpuh selepas semua ahli mengambil keputusan yang sama.

"Semua lumpuh termasuk bahagian lumpuh, Wanita lumpuh, Wirawati lumpuh, Wira pun lumpuh kalau daripada 15 hanya tinggal lima orang," katanya.

Ditanya jika Warisan mengambil tindakan undang-undang seperti yang dilakukan terhadap ADUN lain sebelum ini, Awang Ahmad Sah menyatakan kesediaannya untuk berhadapan dengan perkara itu.

Sebelum itu, pada 6 Februari lalu, tiga ADUN Warisan keluar daripada parti dan menyatakan sokongan terhadap Hajiji.

Tiga ADUN berkenaan ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).