OKU pekak kini boleh bantu salurkan maklumat rasuah

Eamienor Zakiah Md Zuki memberi penerangan menggunakan bahasa isyarat berhubung pelaksanaan platform digital OKU Pendengaran Portal SPRM kepada Sinar Harian.
Eamienor Zakiah Md Zuki memberi penerangan menggunakan bahasa isyarat berhubung pelaksanaan platform digital OKU Pendengaran Portal SPRM kepada Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengenalan platform digital orang kurang upaya (OKU) Pendengaran Portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memudahkan golongan itu bagi menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti rasuah.

Menyambut baik pelaksanaan itu, Bendahari Kehormat Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Eamienor Zakiah Md Zuki menegaskan, platform yang dilancar pada Ogos tahun lepas meningkatkan aksesibiliti OKU pendengaran untuk bersama-sama mencegah rasuah menerusi kemudahan tersebut.

"Beberapa kali informasi diberikan pihak SPRM kepada MFD (berhubung portal), semasa perasmian dibuat secara digital supaya difahami oleh OKU pekak. Jadi kita tidak ketinggalan mengetahui mengenainya.

"Kerjasama ini membolehkan kami mendapat informasi yang berkaitan. Syukur alhamdulillah dengan pengenalan ini dapat memudahkan kami untuk membuat laporan, di samping membuka mata semua pihak terutamanya kerajaan yang tidak mengenepikan kami dan memastikan kami memperoleh akses sewajarnya," katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai laporan yang sudah dibuat menggunakan platofrm berkenaan, Eamienor berkata, rekod hanya boleh didapati daripada kakitangan SPRM.

"Laporan adalah rahsia. Mereka (pelapor) hanya akan sampaikan kepada pihak SPRM sahaja, tetapi dalam laman web itu kita sudah beri penerangan bagaimana laporan boleh dibuat," katanya.

Untuk masa hadapan, Eamienor berkata, pihaknya akan 'turun padang' menjelaskan perkara ini bagi memastikan maklumat berkenaan sampai kepada kelompok orang pekak di luar Lembah Klang.

"Pada masa sama, kita rancang untuk turun ke peringkat negeri agar mereka dapat lebih pemahaman dan bertanyakan soalan berkaitan.

"Sebab memang di luar KL secara amnya kita tahu ada cabaran dari segi digitalisasi ini, yang utamanya kita mahu memastikan hak mereka terbela, mereka juga boleh melaksanakan tanggungjawab bersama melapor mengenai rasuah," ujarnya.

Laman OKU Pendengaran Portal SPRM ini diwujudkan khas oleh SPRM untuk OKU pendengaran bagi memberi pendedahan mengenai rasuah di samping menjadi platform yang lebih efisien untuk diakses oleh golongan ini untuk melaporkan sebarang kes berkaitan rasuah.

Sebanyak lapan saluran sedia ada untuk orang ramai membuat laporan iaitu antaranya melalui e-mel info@sprm.gov.my, kiriman mesej di talian 019-6000 696 dan lapor di pejabat SPRM berdekatan.

MFD menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SPRM pada Ogos tahun lepas.

Menerusi kerjasama ini MFD dan SPRM dapat memperkukuhkan lagi usaha pencegahan rasuah.