Kesihatan mulut sering diabaikan

Rakyat Malaysia digesa untuk mengambil langkah pertama dengan memberikan komitmen lebih besar kepada kesihatan mulut. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Rakyat Malaysia digesa untuk mengambil langkah pertama dengan memberikan komitmen lebih besar kepada kesihatan mulut. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

TANYALAH kepada sesiapa pun mengenai kesihatan mereka dan kebarangkaliannya mereka akan berfikir mengenai keadaan kronik seperti penyakit jantung atau kencing manis (diabetis). Kesihatan mulut pula jarang diambil kira.

Hakikatnya, sepanjang usia kita leka akan kepentingan kesihatan mulut yang boleh membawa kepada akibat buruk yang berkekalan.

Ada dua penyakit berkaitan kesihatan mulut yang utama iaitu karies (gigi berlubang atau gigi mereput) dan penyakit periodontal (gusi). Masalah ini boleh memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat.

Data menunjukkan 71.3 peratus kanak-kanak berumur lima tahun mengalami gigi berlubang.

Di kalangan orang dewasa pula, keadaan lebih teruk lagi. Menurut Kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Dewasa (NOHSA) pada tahun 2010, kira-kira 90 peratus daripada populasi dewasa Malaysia mengalami penyakit periodontal ringan dan teruk, manakala 88.9 peratus mengalami karies gigi.

Perkara ini memberitahu kita akan keperluan untuk melihat isu kesihatan mulut sama seperti kita melihat kesihatan umum, dengan mengamalkan tabiat baik setiap hari dan menjalani gaya hidup sihat.

Nampaknya ramai orang melihat kesihatan mulut sebagai tidak penting atau akibatnya memang tidak dapat dielakkan.

Misalnya, ramai merasakan kehilangan gigi dan memakai gigi palsu adalah proses semulajadi penuaan tetapi ia sebenarnya boleh dicegah dari awal.

Apa yang boleh kita lakukan adalah keperluan mewujudkan asas tabiat kebersihan mulut yang kukuh pada peringkat awal kanak-kanak lagi.

Ibu bapa dan guru mestilah menyokong, selain turut sama-sama belajar tentang kepentingan memberus gigi pada usia yang betul dan penjagaan mulut am.

Bersempena Hari Kesihatan Pergigian Sedunia (20 Mac) bertema ‘Berbanggalah dengan Mulut Anda’, saya menggesa rakyat Malaysia untuk mengambil langkah pertama dengan memberikan komitmen lebih besar kepada kesihatan mulut.

Mulakan dengan memberus gigi dua kali sehari. Gunakan ubat gigi berfluorida dan flos.

Bagi mereka yang merokok, pertimbangkan untuk berhenti kerana tabiat itu meningkatkan risiko penyakit gusi, masalah kesihatan mulut dan kanser mulut, serta masalah kesihatan lain.

Kedua, marilah kita menjadi contoh yang baik kepada anak-anak kecil dengan mengajar mereka rutin penjagaan mulut yang baik dari kecil.

Akhir sekali, jangan lupa untuk bekerjasama dengan doktor gigi dalam kembara kesihatan mulut anda.



Berjumpalah doktor gigi anda dengan kerap, sekurang-kurangnya sekali setahun, dan bukannya apabila sakit gigi atau ada luka pada rongga mulut. Pencegahan boleh membantu kita mendapat kesihatan mulut dan umum yang baik.

Bagi mereka yang mempunyai kekangan kewangan, penjagaan pergigian berasaskan komuniti mampu milik ada disediakan secara meluas, tidak seperti yang kita fikirkan selama ini.

Kini terdapat 1,670 kemudahan pergigian termasuk klinik pergigian mudah alih di seluruh negara. Dapatkan senarai penuh di https://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/store_view/7.

Mulai hari ini, kita harus pastikan kesihatan mulut sebagai keutamaan dalam kehidupan dan berusahalah setiap hari untuk hasil yang bermanfaat.

* Profesor Dr Seow Liang Lin ialah Dekan, Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU)