Pemilihan UMNO: Bukti usaha gugat Kerajaan Perpaduan ditolak

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto: Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Pemilihan UMNO Sesi 2023-2026 pada Ahad memberi mesej jelas bahawa unsur mengugat Kerajaan Perpaduan adalah ditolak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga memberi 'isyarat' bahawa perwakilan menolak unsur untuk memecahkan UMNO dari luar selain menyuntik perpecahan dari dalam untuk meruntuhkan kerajaan sedia ada.

Ujarnya, ia jelas ditolak perwakilan kerana terdapat kira-kira 160,000 perwakilan telah membuat pemilihan.

"Jelas daripada keputusan pemilihan sayap UMNO di peringkat kawasan Parlimen (bahagian) dan pusat selain ditambah pemilihan di peringkat bahagian dan nasional memperlihatkan bahawa telahan untuk gugat kerajaan yang ada boleh dielakkan.

"Ini terlihat bahawa kesatupaduan dalam pemilihan kepimpinan UMNO memperlihatkan bahawa dukungan daripada akar umbi jelas untuk kepimpinan peringkat nasional memberikan dukungan sepenuhnya kepada keutuhan kerajaan perpaduan yang ada sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.

Mesyuarat kali kedua itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin utama UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Turut hadir, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, ia juga menunjukkan bahawa akar umbi mahu kerajaan sedia ada di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkukuhkan.

Beliau juga yakin dengan dukungan dari rakan-rakan parti dalam BN sendiri selain rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak untuk terus mendukung Kerajaan Perpaduan berkenaan.

"Maka kombinasi 20 parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan ini dan diperkuatkan lagi dengan kepimpinan baharu UMNO akan memperkukuhkan kerajaan yang ada.

"Kami berjanji Kerajaan Perpaduan akan terus didokong oleh kami bersama rakan-rakan parti lain termasuk dari BN," jelasnya.

Sementara itu, Anwar berkata, keputusan Pemilihan UMNO 2023 yang diumumkan itu membawa mesej kemenangan satu pasukan yang meyakinkan.

Ujarnya, menerusi keputusan ditunjukkan berkenaan menunjukkan beliau berupaya memperkukuh kedudukan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya pada masa ini.

-- TAMAT