FAM gantung serta-merta Zulkarnain

Zulkarnain (tengah) mengadili aksi Liga Super yang menemukan Penang FC dan Sabah FC di Kota Kinabalu pada Jumaat. -Foto Penang FC
Zulkarnain (tengah) mengadili aksi Liga Super yang menemukan Penang FC dan Sabah FC di Kota Kinabalu pada Jumaat. -Foto Penang FC
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) bertindak proaktif apabila menggantung serta-merta seorang pengadil, Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim ini.

Ia susulan Zulkarnain didapati terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti semasa aksi Liga Super antara Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman memberitahu, tindakan penggantungan dibuat selepas Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil yang diketuai Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil bersidang pada Sabtu.

Katanya, pada mesyuarat tersebut Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil meneliti laporan daripada penilai pengadil perlawanan berkenaan serta klip rakaman video setiap insiden.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM sebulat suara mendapati bahawa pengadil perlawanan itu, Zulkarnain Zakaria terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah FC pada minit ke-41 dan minit ke-90 9 (masa kecederaan).

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga-M 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zulkarnain dikritik para peminat arena bola sepak susulan beberapa keputusan kontroversinya ketika aksi Sabah FC dan Penang FC.

Paling menjadi bualan para pengkritik apabila Zulkarnain memberikan lima sepakan penalti masing-masing tiga kepada Sabah FC dan dua buat Penang FC.

Noor Azman menegaskan bahawa Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius mengenai mutu pengadilan.

Katanya, FAM akan memberikan peringatan serta teguran keras kepada semua pengadil supaya sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.

“Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan tidak memenuhi piawaian ditetapkan pada perlawanan Liga Malaysia 2023 akan datang,” katanya.

Zulkarnain pada musim lalu turut mencetuskan kemarahan kem Selangor FC yang mempertikaikan mutu pengadilannya.