Tiga calon dahului saingan Naib Presiden UMNO

Mohamed Khaled dan Mahdzir.
Mohamed Khaled dan Mahdzir.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keputusan tidak rasmi Pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026 menunjukkan Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendahului selesa dengan 67 undi setakat jam 11 malam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga penyandang jawatan itu kekal berada di tangga kedua dengan 64 undi.

Keputusan yang dipaparkan menerusi papan markah di Auditorium Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu turut menyaksikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani antara yang mendahului dengan 52 undi meskipun pertama kali menawarkan diri untuk bertanding.

Keputusan semasa Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 bagi jawatan Naib Presiden pada Sabtu.
Keputusan semasa Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 bagi jawatan Naib Presiden pada Sabtu.

Bagaimanapun, Ketua UMNO bahagian Padang Terap, Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilihat masih belum berjaya mendahului undian untuk pertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya sejak tahun 2018.

Beliau berada pada kedudukan ketujuh dengan hanya 14 undi setakat jam 11 malam tadi.

Dalam perkembangan sama, satu-satunya calon wanita dalam persaingan merebut jawatan ketiga tertinggi parti itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said setakat ini hanya bertahan di kedudukan keempat dengan 35 undi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hanya menerima 27 undi, diikuti Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad (20 undi) dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaludin (kosong undi).

Persaingan merebut jawatan dalam Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 bermula selepas tempoh pendaftaran calon ditutup secara rasmi pada 26 Februari lalu.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada Sabtu dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO.