'Jangan bodohkan rakyat' - Anwar

Anwar ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Melawati Shah Alam pada Sabtu.
Anwar ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Melawati Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap seorang bekas pemimpin yang dilihat mengeluh dengan nasib orang Melayu, malah mendakwa golongan itu tertindas di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Tidak menamakan secara khusus siapa individu terbabit, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya memberi gambaran dengan angka '22 tahun dan 22 bulan’ yang merujuk kepada tempoh pentadbiran.

Namun sebagai rekod, sekiranya merujuk tempoh pentadbiran bekas Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri iaitu selama 22 tahun ketika bersama Barisan Nasional (BN) menerusi UMNO dan 22 bulan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Ada orang sekarang, setelah 22 tahun dan 22 bulan pegang kuasa, sekarang mengeluh (mengenai) Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham.

“Bagaimana tidak hilang (kuasa orang Melayu) kalau kamu membolot untuk keluarga dan anak-anak dan sekarang bila hilang kuasa, (mula) bicara soal rakyat.

“Jangan perbodohkan rakyat, rakyat harus bangkit mempertahankan hak mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Melawati pada Sabtu.

Sebelum ini Dr Mahathir dilapor memberi amaran bahawa kaum Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali pilihan raya umum (PRU) ekoran suasana politik ketika ini yang menurutnya, kekuatan dominan bangsa pribumi tersebut semakin teruk terhakis.

Sementara itu Anwar turut memberi peringatan kepada individu berkenaan supaya berhenti daripada terus memperbodohkan rakyat dengan pelbagai tuduhan yang sengaja direka-reka.

Antaranya menuduh Kerajaan Perpaduan sekarang mengabaikan hak Melayu sehingga ada pihak menyifatkan hak dan kebajikan kaum itu terbiar di bawah pentadbiran kerajaan

"Harus waspada, patriotisme, isu perkauman, ketaasuban agama (apabila) bergabung, menjadi perkara terakhir untuk membangkan," katanya.