FAMA Kedah anjur tujuh lokasi JTDL Pra-Ramadan

Jualan barangan segar termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran turut diadakan sempena Jualan Terus Dari Ladang sempena Istiqbal Ramadan Mega @Masjid Al-Busyra pada Sabtu.
Jualan barangan segar termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran turut diadakan sempena Jualan Terus Dari Ladang sempena Istiqbal Ramadan Mega @Masjid Al-Busyra pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah menyediakan tujuh lokasi Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Pra-Ramadan Mac ini.

Pengarah FAMA Kedah, Isa Hamzah berkata, antara lokasi tersebut termasuk Medan Gerai Buah-buahan Segar Kepala Batas (17 Mac), Masjid Al-Busyra Merbok (18 Mac), Pasar Tani Kekal Kuala Kedah (20 Mac), Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda dan FAMA Padang Terap (21 Mac), Pasar Tani Baling dan Pasar Tani Kekal Guar Chempedak (22 Mac).

Menurutnya, pengguna berpeluang membeli barangan segar pada harga istimewa menerusi JTDL melibatkan komoditi terpilih seperti ikan, ayam proses, telur ayam, kombo sayur-sayuran dan buah-buahan yang menawarkan penjimatan harga antara 5 hingga 10 peratus.

Isa (kanan) dan Mohd Firdaus menyempurnakan pelancaran Jualan Terus Dari Ladang sempena Istiqbal Ramadan Mega @Masjid Al-Busyra pada Sabtu.
Isa (kanan) dan Mohd Firdaus menyempurnakan pelancaran Jualan Terus Dari Ladang sempena Istiqbal Ramadan Mega @Masjid Al-Busyra pada Sabtu.

"Kita juga menyediakan jualan set kombo bawang besar, merah, putih, kentang dan minyak masak satu kilogram pada harga RM10 sahaja bagi memudahkan pengguna membuat persiapan menjelang Ramadan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan JTDL sempena Istiqbal Ramadan Mega @ Masjid Al-Busyra Merbok pada Sabtu.

Hadir sama menyempurnakan pelancaran ialah Pengerusi Masjid Al-Busyra, Mohd Firdaus Mat Akhir.

Jelas Isa, sebanyak 12 tan metrik barangan segar termasuk 60,000 biji telur ayam dibawa khusus untuk pengunjung di JTDL di Masjid Al-Busyra.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, selain JTDL, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pertandingan mewarna, jualan produk makanan, pakaian, pemeriksaan kesihatan, kehadiran tokoh agama, selebriti dan forum ihya Ramadan turut dianjurkan sehingga jam 11 malam.

Jelasnya, masjid turut mengagihkan sebanyak 500 papan telur ayam dan 100 ekor ayam secara percuma kepada pengunjung.

Menurut Mohd Firdaus, sasaran pengunjung mencecah 5,000 orang diharap mampu memberi manfaat bagi mencapai matlamat mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti dianjurkan.