Kementerian Pertahanan pastikan LCS siap ikut jadual

Pembinaan LCS untuk TLDM. Gambar kecil: ADLY
Pembinaan LCS untuk TLDM. Gambar kecil: ADLY
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memastikan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, paling penting LCS dapat disiapkan seperti jangkaan pada tahun 2024 demi mengukuhkan pertahanan dan perairan negara.

“Kita cuba siapkan sebelum LCS melalui proses-proses penilaian seperti penilaian pelabuhan dan lain-lain dalam tempoh dua tahun.

“Jika ada isu berbangkit, pihak-pihak yang berwajib harus mengambil tanggungjawab masing-masing untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Program Peduli Veteran Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Syarina Kassim dan Panglima 8 Briged, Brig Jeneral Azudin Hassan.

Adly berkata, kementeriannya akan maklumkan perkembangan terkini berkaitan LCS dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus namun tiada kapal diterima setakat ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Rabu lalu menegaskan siasatan skandal LCS mesti diteruskan kerana pendakwaan peringkat awal sebelum ini tidak mencukupi dan membabitkan skandal berskala besar serta ketirisan.

Pada masa sama, projek tersebut diteruskan kerajaan sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan negara dan tentera laut.