110 anak penyu lipas ditemui di Teluk Bahang

Gambar kiri: Anak penyu lipas yang ditemui di sekitar pantai di Teluk Bahang pada 15 Mac lalu. Gambar kanan: Sebanyak 110 ekor anak penyu lipas dilepaskan oleh Jabatan Perikanan Pulau Pinang.
Gambar kiri: Anak penyu lipas yang ditemui di sekitar pantai di Teluk Bahang pada 15 Mac lalu. Gambar kanan: Sebanyak 110 ekor anak penyu lipas dilepaskan oleh Jabatan Perikanan Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 110 ekor anak penyu lipas yang baharu menetas ditemui di pantai berdekatan sebuah hotel di Teluk Bahang pada Rabu lalu.

Kesemua anak penyu tersebut ditemui orang awam sebelum memaklumkan kepada Jabatan Perikanan Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Yazeereen A Bakar berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada orang awam yang menjumpai anak-anak penyu lipas menetas di sekitar Hotel Angsana, Teluk Bahang.

Menurutnya, pasukan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pulau Pinang telah ke tempat kejadian dan mendapati terdapat 110 ekor anak penyu lipas telah menetas.

"Anak-anak penyu lipas berkenaan telah dibawa ke Pusat Konservasi Penyu Pantai Kerachut untuk tujuan pemuliharaan dan penjagaan lanjut sebelum dilepaskan ke perairan laut.

"Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam yang melaporkan keberadaan penyu di pantai sekitar Pulau Pinang. Kami berharap agar usaha dan kerjasama baik seperti ini spesis penyu yang semakin pupus ini dapat dipulihara demi menjamin kelestarian populasi spesis ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang terkenal dengan kehadiran penyu lipas di Malaysia selain Pahang dan Terengganu.

"Bagaimanapun, trend pendaratan penyu belimbing dan lipas di Malaysia dan di Pulau Pinang semakin berkurangan disebabkan faktor ancaman semula jadi serta manusia.

"Kali terakhir penyu lipas kembali bertelur di pantai sekitar Pulau Pinang adalah pada tahun 2019, iaitu empat tahun yang lalu," katanya.