JDT belasah Selangor FC di Kelana Jaya

Diogo (dua dari kiri) dan Endrick Dos Santo meraikan kemenangan JDT. - Foto Johor Southern Tigers
Diogo (dua dari kiri) dan Endrick Dos Santo meraikan kemenangan JDT. - Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) membuktikan bahawa mereka sememangnya sukar untuk digugat selepas menewaskan Selangor FC 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Jumaat.

Skuad Gergasi Merah yang dilabel sebagai antara pencabar utama JDT nyata bukan tandingan pasukan Harimau Selatan itu selepas menjadi mangsa terbaharu dimalukan dengan jumlah jaringan besar.

Bagai dijangka, pasukan kendalian Esteban Solari itu bermula garang dengan corak serangan agresif menerusi rangkaian penyerang mereka diterajui Diogo Luis Santo dan Fernando Forestieri.

Peluang terbaik JDT pada separuh masa pertama muncul pada minit ke-26 melalui sepakan percuma Endrick Dos Santos, namun susulan daripada Fernando Forestieri ditampan Khairulazhan Mohd Khalid.

Selangor melancarkan serangan balas menerusi larian deras Ayron Del Valle dari sebelah kiri sebelum dia melakukan hantaran menemui Faisal Halim.

Bagaimanapun, percubaan lemah daripada penyerang lincah itu mudah ditangkap Ahmad Syihan Hazmi.

Juan Muniz berpeluang untuk memecahkan kebuntuan gol menerusi sepakan percuma terus yang diambil pada minit ke-39, namun Khairul Azhan sekali lagi cemerlang menepis percubaan tersebut.

JDT membuka tirai jaringan menerusi Juan Muniz selepas menolak masuk hantaran Forestieri pada minit ke-55.

Juara sembilan kali Liga Super itu terus bernafsu menambah jaringan menerusi Diogo pada minit ke-66 yang merembat rendah menewaskan Khairulazhan.

JDT sekali lagi membuatkan Stadium MBPJ tergamam apabila meledak gol menerusi Forestieri yang mudah menolak masuk hantaran Arif Aiman pada minit ke-77.

Forestieri terus menambah luka Selangor FC menerusi gol keempat pada minit ke-81.