Kereta terbabas rempuh rumah di hadapan simpang

Sebuah kenderaan dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kulim, Kedah. - Foto FB Balai Bomba Kulim Kedah.
Sebuah kenderaan dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kulim, Kedah. - Foto FB Balai Bomba Kulim Kedah.
A
A
A

KULIM - Dua beranak berdepan detik cemas selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sehingga merempuh sebuah rumah di Jalan Perak di sini dalam kejadian kira-kira jam 2 petang pada Jumaat.

Kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun bersama anak perempuannya berusia 15 tahun itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, hasil siasatan mendapati kereta tersebut sedang bergerak lurus dari Taman Perak hendak membelok ke simpang kanan menghala ke Taman Emas sebelum kenderaan tersebut secara tiba-tiba hilang kawalan dan terlanggar sebuah rumah di hadapan simpang.

"Pemandu mengalami luka di kaki dan tangan manakala anaknya luka di dahi dan leher, kedua-duanya dirujuk ke Hospital Kulim serta diberikan rawatan sebagai pesakit luar," katanya.

Difahamkan, semasa kejadian, tiada penghuni di rumah berkenaan kerana keluar untuk makan tengah hari.

Jelas Mohd Redzuan, laporan polis telah dibuat oleh pemandu dan saringan air kencing telah diambil, namun menunjukkan hasil keputusan negatif.

Katanya, siasatan turut mendapati pemandu mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah tempoh.

"Kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.