Pemilihan UMNO Jerai: Calon ‘underdog’ berdepan tiga calon otai

Khairul Nizam,Jamil Khir dan Mohd Fadzillah
Khairul Nizam,Jamil Khir dan Mohd Fadzillah
A
A
A

ALOR SETAR - Ketua Pemuda UMNO Jerai, Khairul Nizam Mohd Rodzi menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian itu pada pemilihan parti esok.

Khairul Nizam mencabar Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang merupakan penyandang jawatan berkenaan.

Pertandingan empat penjuru itu turut menyaksikan dua lagi calon dikenali, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, iaitu Datuk Ahmad Ikmal Ismail turut memeriahkan saingan, selain bekas calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Datuk Mohd Fadzillah Mohd Ali.

Biarpun Khairul Nizam disifatkan sebagai calon 'underdog', namun sebarang kemungkinan boleh berlaku dan Jerai antara bahagian yang berdepan saingan paling sengit.

Khairul Nizam ketika dihubungi menyifatkan kehadirannya dalam merebut jawatan berkenaan adalah untuk terus menyumbang kepada parti selain mahu membawa pembaharuan dalam UMNO Bahagian Jerai.

“Saya bukannya menafikan kekuatan penyandang, Jamil Khir untuk terus mengemudi kami. Beliau sememangnya telah berjaya membawa UMNO Jerai ke suatu tanda aras yang disegani.

“Namun selepas 10 tahun diberi kepercayaan sebagai Ketua Pemuda UMNO Jerai, saya terpanggil untuk menyambung legasi beliau dengan 'resipi' tersendiri bersama sokongan akar umbi bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)," katanya.

Menurutnya lagi, pentadbiran UMNO perlu diberikan nafas baharu bagi mengembalikan kegemilangan dan kepercayaan rakyat khususnya orang Melayu.

“UMNO perlu kembali menjadi sebuah parti majoriti dalam pentadbiran negara supaya nasib dan kemajuan orang Melayu terus terbela selain untuk mengekalkan keharmonian rakyat pelbagai bangsa dan agama.

"Sekiranya dipilih, saya akan bersama ahli UMNO Bahagian Jerai dan UMNO Kedah mengangkat semula martabat parti sebagai parti keramat orang Melayu, menegakkan Perlembagaan negara serta menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.

Khairul Nizam berharap akar umbi UMNO cawangan Jerai memberi kepercayaan untuk dirinya berkhidmat di peringkat lebih tinggi dalam parti seterusnya memacu gelombang kebangkitan UMNO.

“Saya merupakan anak jati Jerai, menetap dan bekerja di sini, saya akan sentiasa bersama akar umbi untuk mencetuskan gelombang kebangkitan parti Melayu ini,” katanya.