Negeri Sembilan kaji beri pendidikan percuma di KYNS

Aminuddin (dua kiri) ketika menyampaikan sijil kepada graduan terlibat.
Aminuddin (dua kiri) ketika menyampaikan sijil kepada graduan terlibat.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan dalam peringkat kajian untuk memberikan pendidikan percuma kepada pelajar yang menyambung pengajian di Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tidak menafikan KYNS berperanan besar membantu kerajaan membangunkan negara melalui penyediaan tenaga mahir dan separa mahir.

"Ia bagi memenuhi keperluan industri, seiring dengan hasrat kerajaan menjadikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai arus perdana pendidikan negara hari ini.

"Malah berdasarkan laporan, 83 peratus pelajar kita berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian. Sehubungan itu, pelajar-pelajar yang perlukan pengajian TVET kita akan bagi mereka duduk dan belajar sijil ataupun diploma secara percuma,itu yang akan kita laksanakan," katanya selepas selesai Majlis Konvokasyen Kolej Yayasan Negeri Sembilan ke-9 di sini pada Jumaat.

Jelas Aminuddin, pihaknya ketika ini sedang membuat kajian berapakah jumlah kos yang akan terlibat selain antara foktornya untuk melihat kolej tersebut dapat menerima pelajar yang lebih ramai selepas ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, dengan pengiktirafan yang telah diperoleh daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan pelbagai agensi lain, KYNS hari ini bersedia untuk menjadi destinasi utama para belia khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Selepas menamatkan pengajian di peringkat sijil dan diploma, bagi graduan yang mampu dan berminat, boleh meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di peringkat universiti sama ada ijazah, sarjana dan PhD," katanya.

Katanya,kerajaan negeri tidak akan berhenti dan berusaha meningkatkan kualiti dan kemudahan dalam semua perkara, termasuk juga aspek pengurusan dan kepimpinannya.

"Perkara ini akan dilakukan secara berterusan tanpa noktah, sehinggalah kita berjaya menjadikan institusi ini menjadi setanding di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 580 graduan berjaya menerima sijil dan diploma masing-masing.

Sebelum ini, KYNS dikenali sebagai tiga institusi yang berbeza iaitu, Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan (ITYNS), Institut Pelancongan dan Perhotelan Negeri Sembilan (IPPNS) dan Institut Pengurusan dan Perindustrian Yayasan Negeri Sembilan (IPPYNS).

Di bawah program penjenamaan semula ketiga-tiga Institut ini telah digabungkan dan diletakkan di bawah satu bumbung serta telah dijenamakan semula sebagai Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) bersama logonya yang baharu.